Awang Aslee Harap Belanjawan 2025 Beri Tumpuan Perkasakan TVET

BEAUFORT, 18 Okt – Belanjawan 2025 yang akan dibentang oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahimhari ini diharap dapat memberikan tumpuan kepada pembangunan sumber manusia khususnya dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Pengerusi Lembaga Penasihat GiatMARA Parlimen Beaufort, Datuk Awang Aslee Lakat berkata pemerkasaan golongan belia melalui TVET sangat penting bagi memastikan masyarakat terutamanya golongan muda dapat maju seiring dengan perkembangan teknologi dan pemodenan negara.

“Kita harap kerajaan dapat memperbanyakkan lagi program motivasi dan pendidikan kemahiran kepada generasi muda dalam usaha meningkatkan kualiti hidup di samping membuka peluang baharu untuk mereka meningkatkan taraf sosio-ekonomi melalui perniagaa selepas menamatkan latihan, sesuai dengan bidang kemahiran yang mereka sertai,” katanya ketika ditanya mengenai harapan beliau dan rakyat di negeri ini terhadap Bajet 2025.
.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Beaufort berkata demikian ketika ditemui di sini selepas menerima kunjungan Pasukan JUARA UMNO Sabah bagi ZON 3 di Pejabat UMNO Bahagian Beaufort, kelmarin.

Rombongan JUARA UMNO Sabah tersebut diketuai oleh Ketua UMNO Bahagian Kota Kinabalu, Musliati Moslimin; Ketua UMNO Bahagian Kota Belud, Azuwan Majuan Marzan dan turut dihadiri oleh Naib Ketua UMNO Bahagian, Mohd Rashid Mathon; Setiausaha UMNO Bahagian, Abdul Rahman Taib; Ketua Wanita, Juriffah Safflie dan Ketua Puteri, Munira Sarrie.

Menurut Awang Aslee bukan lagi pilihan kedua bagi para pelajar lepasan SPM yang kurang bernasib baik untuk melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi kerana ia memberi peluang untuk memperoleh pekerjaan berasaskan kemahiran atau bekerja sendiri bagi menjana pendapatan selepas selesai dari latihan.

Beliau berkata graduan dalam aliran TVET kini, mempunyai potensi besar menjadi tenaga mahir negara dalam pelbagai bidang dan mampu menjanjikan pendapatan untuk taraf kehidupan lebih baik demi masa hadapan.
Justeru katanya, TVET perlu diperkasakan selari dengan keperluan semasa.

Awang Aslee berkata dalam Bajet 2025 ini, kerajaan perlu menambah dana tabung pembangunan kemahiran untuk akses orang muda menceburi program TVET.

“Penambahabaikan kemudahan asas dan alatan latihan juga perlu diberikan peruntukan di pusat-pusat latihan seperti di pusat GiatMARA, institut latihan perindustarian dan sebagainya,“ katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Jaafar Abd Wahid

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.