Tenggara Sokong Pindaan RUU Kewarganegaraan, Harap Kerajaan Lebih Teliti
KUALA LUMPUR, 17 Okt – Ahli Parlimen Tenggara, Manndzri Nasib menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2024 membabitkan kewarganegaraan dan berharap agar kerajaan lebih teliti dalam mengambil sebarang keputusan.
Jelasnya, pindaan perlembagaan tersebut sudah semestinya menjadi harapan baru untuk menyelesaikan segala permasalahan dihadapi rakyat terutamanya dari sudut kewarganegaraan.
“Isu kewarganegaraan di rakyat negara ini semakin meruncing dan akan memberi pelbagai kesan negatif jika tidak ditangani dengan segera. Tenggara yakin pindaan
perlembagaan ini akan menjadi harapan baru untuk menyelesaikan sebahagian masalah kewarganegaraan.
“Tambahan pula ada berita-berita contohnya pada 27 Julai 2022, sejumlah 1.2 juta pelancong China di Malaysia tidak keluar dan ini akan menjadi bebanan pemikiran yang dihadapi oleh ribuan rakyat ketika ini,” katanya ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat, sebentar tadi.
Ujarnya, kerajaan perlu bersikap lebih tegas dalam isu pemberian status kewarganegaraan dan meletakkan syarat-syarat yang sepatutnya kepada pemohon.
“Sudah sampai masanya kerajaan lebih tegas membabitkan pemberian status kewarganegaraan dengan menetapkan syarat wajib fasih atau menguasai bahasa Melayu dengan baik. Namun Tenggara berpendapat penguasaan bahasa Melayu sahaja tidak cukup, mereka wajib menguasai, menghayati, menjiwai dan menghormati Rukun Negara.
“Ini penting sebagai penanda aras dan menjadi bukti bahawa mereka benar-benar ikhlas untuk menjadi rakyat Malaysia, bukannya disebabkan faktor lain. Kalau kerajaan boleh bertegas dalam hal ini, Tenggara yakin dan percaya negara akan memiliki watan yang berkualiti dan mempunyai semangat patriotik yang tinggi.
“Sekiranya mereka gagal patuh kepada Rukun Negara ini, sewajarnya kita sediakan satu peruntukkan untuk menarik balik atau melucutkan kerakyatan yang diberi. Kita beri pada mereka yang benar-benar layak kerana ramai lagi yang memohon untuk menjadi warganegara Malaysia dan watan yang setia,” katanya lagi.
Menurutnya, peningkatan kepada jumlah kewarganegaraan di Malaysia sudah semestinya akan meningkatkan kos dan kadar subsidi termasuklah bantuan kepada kerajaan.
“Peningkatan taraf kewarganegaraan sudah pastinya akan meningkatkan kos atau kadar subsidi yang disediakan pihak kerajaan. Ini termasuk bantuan kesihatan, perkhidmatan, subsidi dan pelbagai lagi.
“Sebagai contoh, sejak kita dilahirkan, kerajaan prihatin dan menyalurkan bantuan kepada rakyat serta warganegara. Mungkin kita sendiri tidak sedar. Ini semua demi kesejahteraan rakyat.
“Kos suntikan imunisasi dari bayi berusia sebulan hampir RM3500 seorang. Ini bagi mencegah segala penyakit. Vaksin seperti Tuberkulosis, Hepatitis B, Difteria,Tetanus, Batuk kokol (Pertusis), Polio, jangkitan akibat Haemophilus influenzae B, Campak, Beguk, Rubella, Ensefalitis Jepun (Japanese Encephalitis, JE), penyakit Pneumokokal invasif dan kanser yang disebabkan oleh jangkitan Human Papilloma Virus (HPV),” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau beranggapan bahawa kerajaan perlu membuat keputusan sebaiknya dalam memberikan kewarganegaraan agar ia tidak merugikan negara pada masa akan datang.
“Kalau didarab, tambah, tolak semua perbelanjaan hingga anak cecah umur 18 tahun, kerajaan berbelanja sehingga RM150,000 untuk seorang kanak-kanak. Itu pun masih ada yang kata kerajaan tidak bantu dan prihatin.
“Kementerian Dalam Negeri (KDN) sudah meluluskan hampir 14,000 permohonan kewarganegaraan sejak 2013, paling banyak melibatkan permohonan kanak-kanak tidak saf taraf, anak jagaan dan anak angkat.
“Boleh kita bayangkan terdapat sebanyak 14,000 orang kanak-kanak dan jumlah subsidi atau bantuan ditanggung kerajaan adalah sebanyak RM 2.1 bilion. Jadi kita perlu lebih teliti dengan membuat keputusan agar tidak merugikan negara dan tiada pihak ‘menangguk di air yang keruh’, ambil kesempatan dari kebaikan kita,” katanya lagi. – UMNO Online