Syed Hussien Terus Turun Padang Santuni Rakyat Mahkota

KUALA LUMPUR, 17 Okt – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota, Syed Hussien Syed Abdullah terus menyantuni penduduk di kawasan dalam melaksanakan amanah yang diberikan kepada beliau setelah memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) bulan lalu.

Beliau menerusi hantaran di Facebook berkongsi pertemuannya bersama beberapa kelompok masyarakat bagi mengetahui isu-isu berbangkit dihadapi mereka selain memberikan bantuan.

“Saya sempat bersarapan dengan wakil-wakil penduduk Kampung Melayu. Kami berbual santai tentang pelbagai perkara, termasuk isu infrastruktur dan kebajikan penduduk di situ.

“Kemudian, saya singgah di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja cawangan Kluang. Memandangkan isu caruman dan kebajikan pencarum selalu menjadi bualan hangat, jadi saya ambil peluang untuk tahu lebih lanjut.

“Selepas Zohor, saya mewakili Exco Agama Johor, Mohd Fared Mohd Khalid untuk menyampaikan sumbangan kepada dua surau iaitu Surau Kampung Palembang Baru dan Surau AlGhafur, turut hadir sama wakil daripada Pejabat Kadi Kluang,” katanya menerusi hantaran yang sama.

Syed Hussien yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang turut sama memaklumkan pertemuannya bersama adik Marina yang berjaya dalam permohonan pertukarannya ke Universiti Putra Malaysia.

Menurut beliau ini kerana adik Marina sebelum ini mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaysia Sabah, namun terpaksa menolak atas faktor kewangan.

“Usai acara tersebut saya terus bergegas ke Kampung Tengah untuk bertemu adik Marina untuk menyampaikan khabar gembira. Permohonan pertukaran ke Universiti Putra Malaysia telah diluluskan.

“Sebelum ini, adik Marina telah berjaya mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaysia Sabah. Namun begitu, atas faktor kewangan adik Marina menolak hasrat tersebut.

“Menutup hari saya, saya sempat hadir untuk merasmikan ‘Pertandingan Badminton Antara Guru Kluang’ yang diadakan di Havona, Taman Sri Kluang. Memang hebat rupa-rupanya guru-guru kita bukan sahaja handal mengajar tapi juga lincah di gelanggang badminton,” ujar beliau. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.