Isu Gelandangan: Perlu Kerjasama Semua Pihak, Capai Pengendalian Secara Holistik – Noraini

KUALA LUMPUR, 17 Okt – Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berpandangan bahawa kerjasama semua pihak diperlukan untuk mengendalikan isu gelandangan secara holistik.

Tegasnya, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) kini sedang meneliti dapatan kajian semakkan semula Akta Kanak-Kanak Papa 1977 agar isu gelandangan serta pengemisan dapat diatasi.

“Kajian semakkan semula Akta Kanak-Kanak Papa 1977 dan KPWKM pada bulan Jun 2024 telah selesai melaksanakan kajian semakkan semula akta tersebut.

“Buat masa ini KPWKM sedang meneliti hasil dapatan kajian yang akan digunapakai sebagai asas kepada penstrukturan semula dan perincian mekanisme yang lebih holistik dalam mengendalikan isu gelandangan serta pengemisan agar kebajikan mereka dapat dilindungi dalam semua aspek.

“Secara dasarnya, hasil kajian ini meliputi cadangan-cadangan kepada kerajaan mengenai kandungan, pendekatan dan skop rang undang-undang (RUU) ke arah inisiatif pengendalian isu gelandangan serta pengemisan secara menyeluruh. Ia meliputi peranan agensi-agensi di peringkat kerajaan pesekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan,” katanya beliau berkata demikian pada sidang Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO memaklumkan bahawa pihak KPWKM sedang membuat tindakan persediaan untuk menggubal RUU tersebut agar dapat ditangani secara teratur.

“Kajian ini juga telah mengenalpasti peruntukan-peruntukan sedia ada di bawah Akta Orang-Orang Papa 1977 tidak relevan dan memerlukan pendekatan baharu yang lebih praktikal dan sesuai dalam memerangi isu gelandangan serta pengemisan.

“Pihak kementerian sedang membuat tindakan persediaan untuk gerak kerja ke arah pengubalan RUU berkaitan gelandangan dan pengemisan bagi memastikan isu gelandangan ini dapat ditangani dengan lebih teratur.

“KPWKM melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menjalankan tindakan menyelamatkan orang papa berdasarkan peruntukan di bawah Seksyen 3 Akta Orang-orang Papa 1977, Akta 183. JKM dengan kerjasama agensi pusat akan mengenalpasti orang papa yang diselamat dan mengambil tindakan mengikut bidang kuasa agensi masing-masing,” katanya lagi.

Jelasnya, tindakan bersepadu tersebut melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Agama Islam dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Pecahan bilangan orang papa yang telah diselamat adalah 2,108 orang pada tahun 2020; 1,528 orang pada tahun 2021; 1,280 orang pada tahun 2020; 2,080 orang pada tahun 2023 dan 1,256 orang sehingga Jun 2024.

“Data ini menunjukkan bahawa orang papa yang diambil terdiri daripada individu yang tidak mempunyai pekerjaan, pendapatan rendah, masalah kemiskinan, tiada tempat tinggal, dibuang keluarga, celaru mental dan masalah kesihatan lain, penagih dadah, bekas banduan serta lain-lain,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan bahawa orang papa warga asing akan dirujuk kepada agensi berkaitan.

“Berdasarkan rekod JKM terdapat berbagai kategori orang papa yang diambil. Jika orang papa tersebut merupakan warga negara asing, termasuk pendatang asing tanpa izin (PATI), pemegang UNHCR, pesakit mental, berjangkit dan kronik, orang papa ini akan dirujuk kepada agensi berkaitan seperti Jabatan Imigresen Malaysia, KKM, PDRM, serta AADK,” katanya lagi.

“Oleh yang demikian, pihak kementerian sekali lagi ingin menegaskan bahawa pengendalian isu gelandangan secara holistik hanya dapat dicapai dengan penglibatan dan kerjasama erat antara agensi-agensi kerajaan pusat, kerajaan negeri serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO),” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.