GISB: Berikan Ruang Seluas-Luasnya Pihak Berkaitan Laksana Tanggungjawab Masing-Masing – Jalaluddin

KUALA LUMPUR, 17 Okt – Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata ruang seluas-luasnya perlu diberikan kepada pihak berkaitan khususnya pihak berkuasa yang terlibat berhubung isu Global Ikhwan Sendirian Berhad (GISB),

Berucap di Parlimen selepas sesi penerangan menteri berhubung isu tersebut di Parlimen, beliau menegaskan adalah amat penting soal berkenaan ditangani sebaiknya termasuklah jangka pendek dan jangka panjang.

“Berilah ruang kepada pihak berkuasa untuk melaksanakan tugas mereka. Biar pihak PDRM lakukan siasatan, dan jika wujud penganayaian dan pelanggaran undang-undang, biarlah mereka yang terlibat dikenakan hukuman yang sewajarnya.

“Pihak JAKIM dan juga Jabatan-Jabatan Agama Negeri harus lihat bagaimana soal akidah ini harus diperbetulkan. Penyelesaian itu tidak boleh bersifat jangka masa pendek, kerana kita tidak mahu 10 ke 20 tahun akan datang, isu ini timbul lagi dengan nama yang berbeza pula.

“Pemantauan secara berterusan perlu dilakukan. Agensi-agensi dibawah Kementerian Wanita perlu bantu mangsa yang terlibat khususnya kanak-kanak dan Wanita. Soal doktrinasi ini bukan satu soal yang main-main, kesan kepada psikologi yang kita tidak boleh lihat itu yang merbahaya,” katanya.

Kata beliau lagi, beberapa pendekatan lain boleh diambil kira termasuklah menerusi dasar TVET negara kepafa mangsa-mangsa yang terlibat.

“Saya nak bawa kepada Dewan Yang Mulia. Kita ada pelbagai pendekatan. Kita ada pendekatan melalui Dasar Tvet Negara yang boleh dijadikan sebagai satu lagi ‘option’ untuk mangsa-mangsa daripada GISB  ini dan juga kepada masyarakat sebagai pilihan untuk pendidikan anak-anak.

“Dan kita juga ada program Huffaz yang telah diperkenalkan oleh Timbalan Perdana Menteri dalam sistem pendidikan awal kanak-kanak yang diboleh dijadikan sebagai satu program pertama, pilihan pertama kepada masyarakat dan rakyat negara kita.

“Kalau dari segi ekonomi, kita juga ada pilihan sekain kita ada pendekatan daripada beberapa resolusi yang dikemukakan di dalam Kongres Agenda Bumiputera dan melibatkan pelbagai serta ratusan program,” ujarnya.

Beliau seterusnya berharap agar isu ini dapat diatasi dengan sebaiknya dan berilah ruang kepada semua pihak yang bertanggungjawab untuk laksanakan tugas masing-masing. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit