Puteri UMNO Pulau Pinang Sokong Pindaan Akta Pilihan Raya, Kuota 30% Calon Wanita

PULAU PINANG, 16 Okt – Pergerakan Puteri UMNO Pulau Pinang berpendapat sudah tiba masanya semua pihak terutama kerajaan memberikan perhatian serius mengenai isu kuota calon wanita dalam pilihan raya.

Menurut Ketuanya, Ameera Nadia Mohd Shafiee, pihaknya menyokong penuh cadangan pindaan Akta Pilihan Raya dan Peraturan Pilihan Raya yang memperuntukkan sekurang-kurangnya 30% calon wanita dalam pilihan raya yang disuarakan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Aiman Athirah.

Katanya, beliau juga senada dengan kenyataan daripada Ketua Wanita Amanah itu dan menyeru agar pindaan ini segera dilaksanakan demi mengiktiraf serta memperkasakan lagi kedudukan wanita dalam landskap politik Malaysia.

“Puteri UMNO Pulau Pinang menyifatkan langkah ini sebagai sejajar dengan aspirasi kami untuk memperkasa golongan wanita muda dan memperluas peranan wanita dalam politik.

“Meskipun wanita merangkumi separuh daripada populasi negara, penglibatan mereka dalam politik masih sangat rendah dan berdasarkan data dari Jabatan Perangkaan Malaysia, penguasaan politik oleh golongan wanita hanya berada pada kadar 0.102% sahaja.

“Jadi pindaan ini dapat memastikan suara wanita lebih didengar dan kepentingan mereka lebih diutamakan dalam proses pembuatan dasar. Ini akan memberi peluang kepada wanita untuk turut serta dalam penggubalan undang-undang yang lebih inklusif,” katanya dalam satu kenyataan media.

Jelas Ameera lagi, selain meningkatkan penglibatan wanita, langkah berkenaan juga dilihat akan membantu UMNO secara keseluruhan dalam memperkukuhkan reformasi politik parti.

Ujarnya, langkah tersebut tidak hanya menunjukkan bahawa UMNO adalah parti yang inklusif dan progresif, tetapi juga meningkatkan keyakinan rakyat terhadap komitmen parti untuk melibatkan semua lapisan masyarakat.

“Sokongan terhadap pindaan ini juga selaras dengan komitmen Malaysia terhadap agenda global, khususnya Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang menekankan kesaksamaan gender.

“Dalam konteks nasional, ia dilihat sebagai langkah penting ke arah dasar yang lebih adil dan inklusif.

“Puteri UMNO Pulau Pinang percaya bahawa parti perlu menjadi peneraju utama dalam usaha ini,” jelas beliau.

Kata Ameera lagi, Puteri UMNO Pulau Pinang berpendapat bahawa peningkatan representasi wanita di arena politik akan membawa Malaysia lebih dekat kepada mencapai kesaksamaan gender yang sebenar, selain memperkukuh landskap politik negara. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit