Pelbagai Pendekatan Bantu Veteran ATM Dapat Kerjaya Kedua Selepas Bersara – Mohamed Khaled

KUALA LUMPUR, 15 Okt – Kementerian Pertahanan (MINDEF) mengambil tiga pendekatan utama yang merangkumi sasaran jangka pendek dan jangka panjang dalam usaha memastikan agar veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berupaya mendapat kerjaya kedua setelah bersara.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata langkah tersebut antara lain melalui peranan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) yang diberi tanggungjawab merancang, mengurus dan melaksanakan latihan peralihan kepada anggota ATM yang bakal besara.

Menurut beliau secara umumnya, latihan ini mengambil masa antara tiga hingga 18 bulan mengikut kelayakan dan kesesuaian serta latihan peralihan ini melengkapkan mereka dengan pemikiran atau ‘mindset’ yang betul, merangkumi latihan bidang keusahawanan, teknikal dan juga vokasional.

“Program dan kerjasama yang telah diusahakan oleh PERHEBAT, namun pihak kementerian telah mengambil ketetapan bahawa bermula pada tahun ini, latihan-latihan yang dikendalikan oleh PERHEBAT mesti diubah pendekatannya.

“Antaranya, pertama, melakukan pelbagai kerjasama dan hubungan strategik bagi memastikan latihan yang diberikan adalah bersesuaian dengan keperluan dan tuntutan pasaran. Kedua, memastikan modul peralihan bersifat praktikal berdasarkan industri ataupun ‘industry base’ dan tidak terlalu menekankan aspek teori.

“Ketiga, memastikan berlaku lebih banyak kolaborasi dan penglibatan pihak industri secara lebih intensif, khususnya entiti-entiti di dalam ekosistem MINDEF dan para syarikat yang diberikan kontrak peralihan oleh kerajaan. Keempat, menempatkan para pelatih secara terus di dalam pasaran atau syarikat-syarikat berbanding dikumpulkan di pusat latihan PERHEBAT, sama ada di Sungai Buloh ataupun di tempat-tempat lain,” katanya pada sesi jawab lisan di Parlimen, di sini, hari ini.

Terdahulu, Ahli Parlimen Ketereh Datuk Khlir Mohd Nor meminta Menteri Pertahanan menyatakan usaha-usaha kementerian setakat ini dalam menentukan veteran tentera mendapat kerjaya kedua setelah menamatkan perkhidmatan selama 21 tahun.

Khaled yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi seterusnya menambah strategi kementerian adalah mentransformasikan PERHEBAT agar tidak sekadar menjadi penyedia latihan tetapi merupakan institusi yang menghubungkan bakal-bakal pesara secara proaktif dengan pasaran sebenar dan membantu mereka secara agresif dan praktikal agar dilengkapkan dengan pelbagai aspek yang menjadi tuntutan majikan dan juga pasaran semasa.

Selain PERHEBAT, kata beliau lagi Jabatan Hal Ehwal Veteran juga menyediakan program dan pelbagai inisiatif untuk memastikan veteran mendapat pekerjaan yang baik dan dipantau kesejahteraannya.

“Antara inisiatif yang dilakukan adalah menjalankan kerjasama dengan PERKESO iaitu agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia menerusi platform MyFutureJobs bagi membantu veteran ATM dalam membuat pilihan kejayaan yang luas.

“Dan kedua, kolaborasi dengan Jabatan Perhilitan bagi melantik veteran ATM sebagai ‘ranger community’. Sama seperti PERHEBAT, kita telah turut mengarahkan Jabatan Hal Ehwal Veteran untuk turut meneroka lebih banyak kerjasama dengan pihak lain khususnya pemain industri.

“Seterusnya bagi melengkapkan usaha memastikan keupayaan veteran untuk mendapat kejayaan kedua yang baik, Kementerian Pertahanan kini sedang memuktamadkan pengenalan inisiatif yang dikenali sebagai Program Pembelajaran Berasaskan Kerja atau ‘Work Based Learning’ (WBL).

“Kita insya-Allah akan mula laksanakannya pada tahun hadapan di mana di bawah program ini dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Institusi Pengajian Tinggi,” ujarnya.

Ujar beliau lagi segala pengalaman, ilmu, bakat dan kemahiran anggota ATM yang sudah berkhidmat untuk suatu tempoh akan dinilai secara berstruktur untuk diberikan diploma atau ijazah atau kelayakan yang lebih tinggi mengikut kelayakan dan kesesuaian.

“Seperti yang kita tahu, kebanyakan anggota tentera menyertai perkhidmatan dengan kelayakan SPM sahaja dan mereka meninggalkan perkhidmatan 21 tahun kemudian dengan tahap kelayakan yang sama.

“Keadaan tersebut bukan sahaja tidak memberi apa-apa kelebihan akademik, malah tidak meningkatkan kebolehpasaran mereka. Jadi melalui inisiatif WBL ini, kita akan bantu meningkatkan daya saing serta kebolehpasaran anggota dengan memastikan mereka meninggalkan perkhidmatan dan menjadi pesara yang mempunyai sekurang-kurangnya kelayakan diploma,” katanya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit