Pelan Induk Cerun Negara (PICN) 2009-2023 Dilanjutkan Hingga 2030 – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 15 Okt – Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata Kementerian Kerja Raya melalui Cawangan Kejuruteraan Cerun (CKC), telah membangunkan Pelan Induk Cerun Negara (PICN) 2009-2023 bertujuan mengurangkan risiko dan kerugian akibat tanah runtuh dan ia telah dilanjutkan sehingga 2030 selaras dengan komitmen kerajaan di peringkat antarabangsa iaitu United Nations Disaster Risk Reduction (UNDRR) Sendai Framework for Disaster Risk Reduction, 2030.

Menurut beliau pelanjutan ini bagi meneruskan agenda pengurangan risiko bencana tanah runtuh meliputi sebelas komponen utama iaitu dasar dan rangka Kerja Institusi, penilaian dan pemetaan bahaya, sistem amaran awal dan pemantauan masa nyata, taksiran kerugian, pengumpulan maklumat, pentafsiran, penyebaran dan penyimpanan, latihan, serta pendidikan dan kesedaran awam.

“Seterusnya langkah pengurangan kerugian, kesiapsediaan, tindak balas dan pemulihan kecemasan, penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan amalan cerun mampan. Antara hasil daripada PICN ini di bawah teras strategik Penilaian dan Pemetaan Bahaya, satu Garis Panduan Pemetaan Bahaya dan Risiko Cerun (PBRC) telah disediakan sebagai asas lengkap pemetaan berdasarkan pemetaan secara linear (Linear Based Mapping) yang dihasilkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan kawasan (Area Based) yang dihasilkan oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG).

“Garis panduan ini merupakan dokumen rujukan kepada semua agensi yang berkaitan dalam membuat kerja pemetaan dan menjalankan penilaian ke atas cerun-cerun untuk mengenal pasti tahap bahaya dan risiko cerun. Ia telah dilancarkan pada 11 Oktober 2024 oleh Timbalan Menteri Kerja Raya,” katanya pada sesi jawab lisan di Parlimen hari ini.

Ahmad menjawab soalan yang dibangkitkan Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali yang  meminta Menteri Kerja Raya menyatakan adakah kerajaan bercadang untuk melaksanakan reformasi dasar cerun negara yang baharu dan lebih proaktif sebagai salah satu usaha mengurangkan kejadian seperti tanah runtuh serta statistik semasa cerun mudah runtuh seluruh negara yang telah dikenal pasti dan langkah pelaksanaan dalam menanganinya.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian seterusnya menambah Kementerian Kerja Raya telah melaksanakan pengumpulan data dan menghasilkan Peta Bahaya dan Risiko Cerun di sepanjang Jalan Persekutuan di Semenanjung Malaysia untuk mengenal pasti cerun-cerun yang mempunyai risiko kebarangkalian yang tinggi untuk runtuh.

“Sebanyak 26,722 bilangan cerun telah diinventori yang mana 1,577 bilangan cerun mempunyai tahap Risiko yang ‘Sangat Tinggi’ dan 1,706 bilangan lagi mempunyai tahap Risiko yang ‘Tinggi’. Bagi tahun 2024, Kementerian Kerja Raya telah melaksanakan 8 bilangan kerja Pencegahan Cerun Runtuh (Preventive) dengan kos sebanyak RM17.725 juta manakala 147 bilangan kerja Pembaikan (Corrective) dengan kos sebanyak RM158.81 juta.

“Kementerian Kerja Raya bersama Cawangan Kejuruteraan Cerun, JKR telah membuat persediaan menghadapi bencana dengan mengenal pasti cerun yang berpotensi runtuh melalui Peta Bahaya dan Risiko Cerun bersama dengan Sistem Amaran Awal Tanah Runtuh (EWS – Early Warning System).

“Pihak Cawangan Kejuruteraan Cerun, JKR akan memberikan amaran awal kepada JKR Daerah dan JKR Negeri berdasarkan data hujan yang diperoleh daripada Sistem Amaran Awal dan data pergerakan cerun yang dipasang pada cerun-cerun yang berisiko,” tambahnya.

Tambahnya lagi, pihak JKR Daerah dan JKR Negeri akan melaksanakan kerja-kerja rondaan, pemeriksaan dan pemantauan bagi mengesan tanda-tanda awal kejadian cerun runtuh di kawasan yang berisiko tinggi.

“Kementerian Kerja Raya bersiap siaga menghadapi bencana cerun runtuh dengan menggariskan tindakan awal yang akan dilaksanakan apabila berlaku insiden seperti pembersihan laluan dan pengalihan debris (sisa runtuhan tanah), pelan pengurusan trafik, penyediaan jalan lencongan / alternatif sementara serta perlindungan cerun yang telah runtuh dengan tarpaulin plastic sheet bagi membendung runtuhan susulan sekiranya berlaku sebelum kerja pembaikan semula / pemulihan cerun secara kekal dilaksanakan,” ujarnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit