Veteran UMNO Sambut Baik Hasrat Kerajaan Untuk Laksanakan Semula GST

KUALA LUMPUR, 14 Okt – Setiausaha Veteran UMNO Malaysia, Datuk Mustapha Yaakub menyambut baik dan mengalu-ngalukan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melaksanakan semula sistem cukai Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Menurut beliau perakuan Perdana Menteri bahawa sistem itu adalah yang terbaik dan telus sememangnya ditunggu-tunggu sejak sekian lama setelah beliau menjawat jawatan tersebut.

“Beliau yang memperjuangkan ketirisan didalam perlaksanaan projek dan subsidi kerajaan mungkin terlepas pandang dalam hal percukaian.

“Walaupun Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) telah mengganti GST, tetapi ternyata ianya masih tidak telus dan berlaku ketirisan dalam sistem itu. Kerajaan mengalami banyak kerugian melalui SST berbanding GST,” katanya menerusi satu kenyataan.

Beliau dalam pada itu berkata perlaksanaan semula GST itu tidak perlu menunggu kenaikan gaji minima sehingga mencapai RM3,000 atau RM4,000.

Menurut Mustapha ini kerana jika ia menjadi syarat maka Iianya sudah pasti akan mengambil masa yang lebih lama.

“Kerana bukan satu atau dua tahun kerana gaji minima sekarang ialah RM1,500. Kalau tujuan kenaikan gaji itu supaya tidak membebankan golongan berpendapatan rendah, maka hasil kutipan GST itu sendiri boleh membantu mereka dengan program bantuan seperti BRIM yang pernah dilaksanakan oleh kerajaan BN sebelum ini.

“Veteran yakin dengan perlaksanaan semula GST ini ianya mampu menngurangkan beban hutang kerajaan yang ditanggung sekarang. Ianya sekali gus akan memacu ekonomi negara yang sekarang berada dilandasan yang betul.

“Ianya juga akan membantu kesetabilan politik menjelang PRU16. Oleh itu Veteran menyarankan supaya perlaksanaan GST ini disegerakan tanpa meletak apa-apa syarat. Perkara yang baik dan menguntungkan negara dan rakyat mistilah diutama dan didahulukan. Itulah moto PMX,” ujar beliau.

Terdahulu, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada semalam berkata negara memerlukan sedikit masa untuk melaksanakan semula GST sehingga nilai ambang pendapatan minimum naik kepada RM3,000 hingga RM4,000.

Beliau mengakui GST adalah sistem percukaian paling telus, efisien dan mampu menyumbang kepada pendapatan negara, namun ia hanya boleh dilaksanakan semula selepas nilai ambang pendapatan berjaya ditingkatkan. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.