Tangani Diskriminasi Kebajikan Pekerja Sabah, Sediakan Kemahiran Dan Peluang Mencukupi – Siti Aminah

KUALA LUMPUR, 14 Okt – Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Siti Aminah Aching berpandangan pindaan Akta Ordinan Buruh Sabah berupaya memberikan penguatkuasaan undang-undang dalam kalangan pekerja di Sabah yang selama ini mengalami diskriminasi.

Menurut beliau ini kerana ketiadaan undang-undang kompeten yang memihak kepada kebajikan mereka sebagai pekerja.

“Secara umumnya pindaan ini bukan sahaja untuk menyeragamkan akta kerja atau akta ordinan buruh Sabah tetapi pindaan ini adalah bagi memastikan pematuhan undang-undang buruh negara kepada piawaian perburuhan antarabangsa khususnya International Labor Organization on Fundamental Principles and Rights at Work 1998.

“Ia akan meningkatkan imaj Malaysia seterusnya menarik lebih ramai pelabur khususnya dari luar negara yang berpotensi memacu pertumbuhan teknologi dan ekonomi untuk negara Malaysia,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Siti Aminah dalam pada itu turut sama memaklumkan bahawa laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Sabah telah merekodkan kadar pengangguran tertinggi di Malaysia iaitu 7.5 peratus, melebihi dua kali ganda daripada kadar pengangguran negara iaitu 3.4 peratus.

Manakala 80 peratus pekerja di Sabah hanya memiliki tahap pendidikan menengah dan ke bawah iaitu seramai 1.296 juta.

Melihat kepada permasalahan ini beliau berkata kerajaan di Sabah dan Persekutuan perlu mengambil langkah proaktif dalam menjana pembangunan ekonomi dan dapat menyediakan peluang pekerjaan yang mencukupi.

“Usaha memperkasakan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) juga boleh mengatasi permasalahan tenaga buruh yang hanya memiliki tahap pendidikan menengah dan kebawah.

“Ia boleh diperkasakan dengan menggalakkan majikan dan pemain industri menghantar pekerja mereka mengikuti pengajian TVET.

“Saya amat yakin dan percaya sekiranya usaha ini diperkasa kita akan dapat merealisasikan Dasar TVET Negara 2030 dalam mencapai matalamat Malaysia ke arah negara maju berpaksikan modal insan berkemahiran melalui program TVET yang responsif, fleksibel, dan juga insklusif,” ujar beliau. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.