Konflik Di Laut Cina Selatan: Kerajaan Tegas Jaga Kedaulatan, Kepentingan Negara – Mohamad

KUALA LUMPUR, 14 Okt – Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan memaklumkan bahawa kerajaan sentiasa memberikan perhatian terhadap isu di Laut China Selatan, sambil menegaskan bahawa kedaulatan dan kepentingan negara sentiasa dijadikan teras utama dalam setiap tindakan yang diambil.

Beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata ini kerana isu berkaitan Laut China Selatan merupakan isu yang kompleks, sensitif dan perlu dikendalikan secara berhati-hati, teliti serta menyeluruh.

“Kementerian Luar Negeri mengambil maklum dan sentiasa memantau perkembangan isu-isu di Laut China Selatan, termasuklah ketegangan antara China dan Filipina di Laut China Selatan.

“Dalam hal ini, saya ingin maklumkan bahawa ketegangan ini berlaku di luar kawasan maritim Malaysia berdasarkan Peta Baru Malaysia 1979,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata beberapa usaha serantau juga dilakukan bagi memastikan keamanan dan kestabilan bagi mengelakkan ketegangan di Laut China Selatan menerusi beberapa perjanjian yang telah dimeterai membabitkan negara-negara ASEAN dan China.

Menurut Mohamad ini termasuk Declaration on the Conduct of Parties in the South China Sea (DOC) pada 4 November 2002, selaras dengan persefahaman di bawah DOC tersebut, negara-negara ASEAN telah mengambil pendekatan self-restraint dan memastikan tindakan-tindakan yang diambil dan aktiviti-aktiviti yang dijalankan di Laut China Selatan tidak meningkatkan ketegangan di lapangan.

Buat masa ini katanya negara-negara ASEAN dan China sedang merundingkan Code of Conduct in the South China Sea (COC) yang dilihat sebagai satu kod tatacara bagi mengelakkan konflik dan ketegangan di Laut China Selatan.

“Rundingan COC tersebut dilaksanakan oleh Negara-Negara Anggota ASEAN dan China menerusi platform ASEANChina Joint Working Group on the Implementation of the DOC (JWGDOC), dan ASEAN-China Senior Officials Meeting on the Implementation of the DOC (SOM-DOC), berdasarkan, Single Draft Negotiating Text (SDNT) COC yang digunakan sebagai asas rundingan,” ujar beliau.

Mohamad dalam pada itu turut memaklumkan bahawa Malaysia sedang memainkan peranan penting di peringkat antarabangsa sebagai Negara Penyelaras Hubungan Dialog ASEAN-China untuk tempoh tiga tahun dari Ogos 2024 hingga Julai 2027.

Dalam hubungan ini beliau berkata Malaysia beriltizam untuk memastikan supaya kod tatalaku ini jika dipersetujui akan menjadi satu dokumen yang efektif dan substantif bagi menangani isu-isu yang berkaitan Laut China Selatan.

“Namun begitu, dalam proses rundingan COC tersebut, Malaysia sentiasa memastikan bahawa COC yang akan dirundingkan tidak sekali-kali mengetepikan kedaulatan, hak kedaulatan dan kepentingan negara.

“Sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun 2025, Malaysia kekal komited untuk menyelesaikan isu-isu berkaitan Laut China Selatan secara konstruktif, dengan menggunakan forum dan saluran diplomatik yang sesuai.

“Kementerian Luar Negeri akan terus menyuarakan pendirian tegas Malaysia berhubung isu Laut China Selatan di platform-platform yang berkaitan bagi memastikan kedaulatan, hak kedaulatan dan kepentingan negara akan terus kekal terpelihara,” ujar beliau. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.