Bajet 2025: Perkembangan Syiar Islam Tentunya Jadi Keutamaan Kerajaan – Dusuki

KUALA LUMPUR, 14 Okt – Perkembangan syiar Islam sudah tentunya menjadi keutamaan kerajaan dalam memartabatkan pengurusan dan pembangunan hal ehwal Islam di negara ini, kata Pengerusi Majlis Ulama UMNO, Datuk Dusuki Ahmad.

Menurut beliau ini kerana ia sebagai bukti kepada komitmen yang menunjukkan keseriusan kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang menegakkan panji Islam.

“Saya amat yakin dan percaya kerana bajet yang disediakan oleh kerajaan kepada agama Islam terutama meliputi aspek perkembangan, pentadbiran agama Islam tak pernah kurang bahkan bertambah.

“Kerana projek keislaman kita ini besar dan ini amat disedari oleh pemimpin-pemimpin kita sekarang,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Dusuki yang merupakan bekas Ahli Parlimen Tumpat berkata seperti kebiasaannya kerajaan akan memperuntukkannya melalui pertubuhan-pertubuhan kebajikan, dakwah bagi memastikan pendidikan ilmu Islam dapat terus berkembang dalam negara.

“Bahkan imam-imam, pegawai-pegawai masjid di seluruh negara daripada Perlis sampai kepada Sabah dibayar sebahagiannya sebagai sumbangan daripada kerajaan persekutuan.

“Kadang-kadang kita tak sedar bahawa hidup mereka ini adalah di bawah bantuan kerajaan Pusat,” ujar beliau.

Terdahulu, Belanjawan 2024 yang dibentangkan pada tahun lalu mencerminkan Kerajaan Perpaduan amat komited dan bersungguh-sungguh mahu memartabatkan pembangunan syiar Islam di Malaysia.

Ia dapat dilihat daripada pengumuman peruntukan pengurusan dan pembangunan hal ehwal Islam, sebanyak RM1.9 bilion telah diperuntukkan pada 2024 meningkat berbanding RM1.5 bilion pada 2023. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.