Transformasi Premis Komersial: MARA Setuju Wujudkan Pasukan Khas – Dr Asyraf

KUALA LUMPUR, 11 Okt – Majlis Amanah Rakyat (MARA) bersetuju untuk mewujudkan satu pasukan khas bagi memperhalusi dan merencanakan pelan transformasi premis komersial MARA.

Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan laporan orang ramai dan lawatan mengejut dilakukan sebelum ini memperlihatkan keadaan premis-premis tersebut.

“Mempengerusikan Mesyuarat Majlis MARA sebentar tadi. Berasaskan laporan, maklum balas orang ramai dan lawatan mengejut (#Terjah) ke premis-premis komersil MARA termasuklah Arked-Arked MARA.

“…sudah tiba masanya satu pelan bersepadu untuk mentransformasi semua premis komersil MARA seluruh negara agar berwajah baharu, lebih ceria, dinamik dan mampu menjadi salah satu wahana penting bagi memperkasakan lagi agenda ekonomi bumiputera.

“Justeru, Majlis MARA bersetuju untuk satu pasukan khas ditubuhkan bagi memperhalusi dan merencanakan pelan transformasi yang melibatkan 6,666 lot premis perniagaan dan komersil MARA seluruh negara,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Beliau yang juga Setiausaha Agung UMNO turut memaklumkan bahawa Majlis MARA juga bersetuju untuk membaiki fasiliti-fasiliti di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Terendak.

“Selain itu juga saya turut berkongsi pengalaman mengadakan lawatan mengejut ke Institusi-institusi Pendidikan MARA (IPMA) termasuk ke MRSM. Majlis bersetuju dengan kelulusan segera RM400,000 untuk membaiki segera tandas-tandas dan bilik guru di MRSM Terendak.

“Majlis juga bersetuju untuk memperkukuhkan lagi sistem pemantauan dan penguatkuasaan agar kebajikan pelajar terutamanya penyediaan makanan di Dewan-Dewan Selera IPMA dan MRSM terpelihara serta berada pada tahap terbaik,” katanya.

Untuk rekod, beliau telah menerjah plaza MARA di Kluang 25 September lalu dan mendapati bahawa banyak lot kedai ditutup dan premis berada dalam keadaan suram.

Beliau turut menerima banyak cadangan agar premis-premis MARA di seluruh Malaysia diberikan nafas baharu agar terus menjadi pemangkin kepada ekonomi bumiputera.

Pada 27 September pula, beliau telah melakukan lawatan ke MRSM Terendak selepas menerima aduan mengenai kes keracunan makanan dan berpeluang untuk meninjau keadaan fasiliti di institusi pengajian terbabit.

Setelah melihat kondisi MRSM terbabit, Asyraf telah meluluskan agar kerja-kerja penyelenggaraan dilakukan untuk membaik pulih empat fasiliti asas iaitu tandas, bilik guru dan pintu-pintu kelas akademik. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.