Azalina Beri Penerangan Agenda Reformasi Institusi Dan Perundangan Pada Mesyuarat Pre-Council BN

KUALA LUMPUR, 11 Okt – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang Dan Reformasi Institusi) yang juga Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said memanfaatkan mesyuarat Pre-council Barisan Nasional (BN) semalam untuk memberi penerangan berkenaan Rang Undang-Undang (RUU) yang akan dibawa pada persidangan Parlimen pada kali ini.

Menurut beliau ia termasuk RUU penting yang akan dibentangkan termasuk RUU Keselamatan Dalam Talian.

“Dalam sesi taklimat tersebut, saya telah berkesempatan untuk memberikan penerangan berhubung hala tuju agenda Reformasi Institusi dan Perundangan yang sedang dan akan dilaksanakan.

“Ini termasuk beberapa RUU penting yang akan dibentangkan dalam sidang Parlimen kali ini misalnya RUU Keselamatan Dalam Talian,” katanya.

Azalina berkata demikian pada hantaran di Facebook beliau, berkongsi initapi pertemuan tersebut yang dihadiri Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri dan Ahli Dewan Negara yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia.

Dalam pada itu beliau turut sama berkongsi ucapan Presiden BN yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang berharap Ahli Parlimen BN untuk mempamerkan kualiti perbahasan  tinggi pada persidangan tersebut.

“Sebelum bersurai,  Pengerusi BN telah menitipkan pesan agar semua Ahli Parlimen dan ADUN mempamerkan kualiti perbahasan yang tinggi apabila sesi bermula.

“Lebih penting lagi, beliau mengingatkan agar semua wakil-wakil rakyat BN menjalankan amanah dan tanggungjawab mereka dengan sehabis baik,” ujar beliau.

Terdahulu, Ahmad Zahid pada hantaran beliau di Facebook turut sama berharap wakil rakyat BN untuk terus memainkan peranan berkesan pada persidangan Parlimen yang akan berlangsung pada minggu hadapan.

Kata beliau melalui pendekatan tersebut aspirasi membela rakyat dapat terus dilaksanakan kerajaan melalui dasar-dasar kompeten yang selaras dengan perkembangan ekonomi negara.

Untuk rekod persidangan Parlimen mesyuarat ketiga penggal ke-3, Parlimen ke-15 akan bermula pada Isnin ini sehingga 12 Disember, selain Bajet 2025 akan mengambil tempat pada 18 Oktober yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.