Tolak MoU Kerajaan Perpaduan: PN Pentingkan Diri, Belakangkan Kepentingan Rakyat

KUALA LUMPUR, 9 Okt – Tindakan Perikatan Nasional (PN) menolak memorandum persefahaman (MoU) Kerajaan Perpaduan mengenai peruntukan kawasan parlimen pembangkang dilihat mementingkan diri sendiri tanpa menghiraukan keperluan rakyat.

Ketua Penerangan UMNO Negeri Kelantan, Datuk Zawawi Othman berkata, meskipun ia merupakan sebuah taktik politik yang dimainkan, jelas tiada sifat tolak ansur diamalkan oleh mereka.

“Tindakan PN menolak MoU Kerajaan Perpaduan ini saya melihat ianya satu taktik politik yang digunakan, jelas membelakangkan rakyat diwakili. Rakyat memilih mereka untuk mentadbir di kawasan tersebut namun PN langsung tidak memikirkan mereka.

“Ini juga jelas menunjukkan tiada langsung sifat tolak ansur yang diamalkan. Sekiranya mereka tidak bersetuju dengan MoU tersebut, mereka masih boleh berbincang dengan pihak kerajaan untuk melakukan pembetulan.

“Kerajaan Perpaduan pada hari ini bersifat terbuka dan saya yakin sekiranya PN ingin membuat perubahan kepada MoU tersebut, ia akan dapat dilaksanakan. Ini tidak, mereka menolaknya secara mentah-mentah,” katanya kepada UMNO Online.

Jelasnya, sifat angkuh dipamerkan oleh PN yang menolak tawaran diberikan oleh Kerajaan Perpaduan ini sudah semestinya bertentangan dengan ajaran Islam yang kononnya menjadi pegangan suci mereka.

“Bukan setakat tiada tolak ansur… mereka juga bersifat angkuh dan ‘mendongak ke langit’ apabila membuat keputusan untuk tidak menerima tawaran diberikan oleh Kerajaan Perpaduan ini.

“Sedangkan, mereka acapkali menyebutkan isu ini di mana-mana sahaja tidak kiralah di parlimen, semasa ceramah dan sebagainya. Apabila dihulurkan dengan tawaran tersebut, mereka sombong.

“Sifat-sifat ini jelas bertentangan dengan ajaran Islam yang mengajar kita untuk ‘bermusyawarah’. Katanya mereka ini parti yang mendaulatkan agama Islam tetapi gagal memahami konsep Islam sebenar,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut mempersoalkan adakah PN membantu wakil rakyat pembangkang di negeri yang mereka berkuasa selama ini.

“Saya harap mereka ‘cermin diri’ sebaiknya. Adakah mereka membantu wakil-wakil rakyat pembangkang di negeri-negeri yang mereka kuasai selama ini? Seingat saya memang tidak ada.

“Mereka (PN) memang sentiasa suka bermain politik. Sekarang ini masa untuk bekerja kepada rakyat apabila sudah diberi mandat. Cukup-cukuplah bermain politik. Fikirkan keperluan rakyat… itu yang utama,” katanya lagi.

Pada 15 September media melaporkan, pembangkang telah membuat ketetapan menolak MoU daripada kerajaan berkaitan dengan peruntukan kepada Ahli Parlimen PN.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, keputusan tersebut dibuat berasaskan empat sebab utama.

Menurutnya, alasan berkenaan ialah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan; bertentangan nilai budaya, moral dan agama; boleh disalah tafsir dan salah guna kuasa serta mengongkong kebebasan.

Keesokannya (16 September), Kerajaan Perpaduan mendedahkan dua draf MoU yang dirangka bersama sebagai bukti ketelusan dalam perundingan mengenai peruntukan untuk Ahli Parlimen Pembangkang.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Ketua Whip Kerajaan Perpaduan Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, keputusan itu dibuat susulan kenyataan Hamzah bahawa PN menolak cadangan MoU tersebut.

Fadillah berkata, niat utama MoU berkenaan adalah untuk mewujudkan suasana harmoni di Dewan Rakyat agar semua Ahli Parlimen lebih fokus kepada usaha pemulihan ekonomi serta memainkan peranan lebih konstruktif dalam menjalankan tugas semak dan imbang. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.