Timor-Leste Masih Tunggu Keputusan Konsensus ASEAN Untuk Keanggotaan Penuh

VIENTIANE, 9 Okt – Timor-Leste masih menunggu keputusan konsensus negara-negara ASEAN untuk diterima sebagai anggota penuh pertubuhan itu, demikian menurut Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Mohamad berkata, setakat ini, belum ada sebarang konsensus dicapai oleh 10 negara anggota ASEAN berkenaan keanggotaan penuh Timor-Leste walaupun proses penyertaannya telah bermula selepas negara itu merdeka pada 2002.

“Masih banyak perkara yang perlu diselesaikan oleh Timor-Leste… ASEAN merupakan satu kumpulan negara yang beroperasi berdasarkan keputusan konsensus.

“Kadang-kadang, ini menyulitkan kerana ada satu atau dua negara yang mempunyai pandangan berbeza, bukan kerana apa-apa, tetapi mungkin disebabkan ketidaksetujuan terhadap isu-isu tertentu, dan ini menjadikan sukar untuk mencapai kata sepakat,” katanya kepada pemberita Malaysia di sini Selasa.

Beliau berkata, penyertaan Timor-Leste berpotensi memberikan nilai tambah kepada keluarga besar ASEAN.

Timor-Leste diiktiraf sebagai pemerhati ASEAN dan menyertai Forum Serantau ASEAN pada 2005, sebelum secara rasmi memohon keanggotaan pada 4 Mac 2011.
Mohamad yang tiba di ibu kota Laos pada Ahad (6 Oktober), telah menghadiri Mesyuarat Menteri-menteri Luar Negeri Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) (AMM) di Vientiane sebelum dijadualkan menyertai Majlis Pembukaan Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta sidang-sidang berkaitan yang akan bermula pada Rabu.

Sementara itu, ketika diminta mengulas perkembangan di Myanmar, Mohamad berkata, krisis yang berlaku di negara itu bukan sekadar isu dalaman semata-mata tetapi telah menjadi masalah merentasi sempadan.

Beliau berkata, bagi isu Myanmar, Malaysia akan menggunakan Mekanisme Troika yang merupakan platform penting untuk mencari penyelesaian terhadap krisis di negara itu dan mengembalikan semula demokrasi di Myanmar.

Secara umumnya, Troika merujuk kepada tiga negara anggota yang dipilih untuk mengendalikan sesuatu isu bagi memastikan kesinambungan dalam usaha menangani isu tersebut.

“Malaysia terus menegaskan bahawa Myanmar masih lagi sebuah negara anggota ASEAN dan tertakluk kepada peruntukan yang digariskan di bawah Piagam ASEAN,” katanya.

Mengulas lanjut, sebagai Pengerusi ASEAN yang akan datang, Mohamad berkata Malaysia akan mengadakan libat urus dengan semua pihak berkepentingan untuk menjamin kestabilan dan keselamatan rakyat Myanmar.

Myanmar berada dalam belenggu sejak rampasan kuasa pada 1 Februari 2021, yang menggulingkan kerajaan demokrasi pimpinan Aung San Suu Kyi. Sejak itu lebih 4,000 orang terbunuh ekoran tindakan kejam tentera negara itu selain kebangkitan rakyat menentang pemerintahan tentera itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan tiba Selasa malam bagi menghadiri persidangan berkenaan.

Pada 11 Oktober, Laos sebagai Pengerusi ASEAN 2024 akan secara rasmi menyerahkan kepengerusian ASEAN kepada Malaysia. – Bernama

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.