Semangat Kebersamaan Pemimpin dan Rakyat Kunci Pembangunan Masyarakat – Mohd Zaidy
JEMPOL, 9 Okt – Semangat kebersamaan antara pemimpin dan rakyat diakui oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir, sebagai kunci kepada pembangunan masyarakat yang lebih baik.
Dalam konteks ini, beliau menekankan pentingnya melibatkan semua lapisan masyarakat dengan pelbagai inisiatif untuk menjalin ikatan yang lebih kukuh dalam komuniti, khususnya ke arah usaha melestarikan kesatuan dan kestabilan demi kemakmuran bersama.
Mohd Zaidy menyatakan bahawa kerjasama antara pemimpin dan rakyat bukan sahaja penting untuk membangunkan hal-hal sosio-ekonomi masyarakat, tetapi juga untuk mengukuhkan nilai-nilai perpaduan dan kerjasama secara holistik.
“Ketika kita bekerjasama, kita mampu mengatasi cabaran yang dihadapi bersama dan memastikan bahawa setiap suara dalam masyarakat didengar,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa pemimpin perlu peka dan mendengar pandangan rakyat, mengambil tindakan berdasarkan keperluan sebenar mereka, agar semua golongan dapat merasai manfaat pembangunan yang dijalankan.
Terdahulu, beliau menghadiri ‘Karnival Gogar Sekampung’ dan ‘Jempol Agrofest 2024’ yang diadakan baru-baru ini.
Ujarnya, program sedemikian bukan sahaja mampu mempromosikan sektor pelancongan, tetapi juga memberi peluang kepada penduduk untuk terlibat dalam aktiviti ekonomi yang bermanfaat.
“Karnival ini menjadi platform bagi penduduk untuk menjual produk tempatan, meningkatkan pendapatan serta mempromosikan warisan budaya kita,” jelasnya kepada UMNO Online.
Terangnya, menerusi ‘Malam Citrabudaya’ pula, pelbagai seni budaya tempatan dipersembahkan, termasuk tarian dan muzik tradisional.
“Acara seperti ini sangat penting untuk mengeratkan hubungan antara penduduk dan mempromosikan nilai-nilai budaya kita. Ia juga dapat memelihara warisan budaya serta menyemarakkan semangat kesenian dalam kalangan masyarakat,” tambah beliau.
Jelasnya, persembahan ini tidak hanya menghiburkan tetapi juga mendidik masyarakat tentang kepentingan menghargai budaya dan tradisi yang ada.
Dalam masa yang sama, Mohd Zaidy juga mengucapkan tahniah kepada penganjur kerana program ini memberikan impak positif kepada semua lapisan masyarakat, iaitu dari kanak-kanak hingga dewasa.
Beliau berharap acara ini akan diteruskan sebagai acara tahunan bagi menggalakkan penyertaan komuniti dalam aktiviti-aktiviti kemasyarakatan.
“Setiap program yang dijalankan dengan penglibatan masyarakat adalah langkah ke arah membina komuniti yang lebih bersatu dan sejahtera.
“Dengan sokongan ini, diharap dapat merangsang pertumbuhan ekonomi tempatan dan meningkatkan taraf hidup penduduk setempat juga.”
Ujar Mohd Zaidy, pelbagai inisiatif dari kerajaan juga akan dapat diagihkan untuk manfaat para penduduk tempatan.
“Ini adalah antara usaha berterusan kepimpinan dalam UMNO/Barisan Nasional (BN) dan berharap agar masyarakat dapat terus berganding bahu dalam membina komuniti yang harmoni dan sejahtera, serta memupuk semangat kebersamaan yang akan memberi manfaat kepada generasi akan datang.”
Dalam acara ‘Fun Walk’ dan ‘Fun Ride’ yang diadakan dalam karnival tersebut, lebih 500 peserta turut serta dan disempurnakan oleh Ahli Parlimen Jempol, Datuk Shamshulkahar Mohd Deli.
Sementara itu, untuk acara perasmian penutup bagi Karnival Gogar Sekampung Homestay Lonek dan Jempol Agrofest 2024 ini telah disempurnakan oleh Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias di samping kehadiran bersama Exco Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Sembilan, Mustapha Nagoor.
Ujar Mohd Zaidy, kolaborasi antara kerajaan dan masyarakat untuk memastikan semua projek yang dirancang memberi manfaat maksimum kepada rakyat adalah amat penting.
“Kegiatan seperti ini bukan hanya menggalakkan gaya hidup sihat, tetapi juga memperkukuhkan hubungan silaturahim antara penduduk dan pemimpin yang ada.
“Acara ini juga dapat memupuk semangat kekeluargaan selain bukti komitmen kerajaan dalam menyokong pembangunan masyarakat setiap masa,” katanya lagi. – UMNO Online