Pimpinan UMNO/BN Pelbagai Peringkat Terus Jayakan Inisiatif Bantu Rakyat – Musliati
KUALA LUMPUR, 9 Okt – Peranan dan khidmat UMNO/Barisan Nasional (BN) dalam membantu rakyat diteruskan seperti biasa dengan peranan berkenaan dimainkan oleh pemimpin pelbagai peringkat sama ada mereka yang berada dalam kerajaan mahupun di luar kerajaan sebagai pimpinan parti akar umbi.
Begitulah yang diperlihatkan Ketua UMNO bahagian Kota Kinabalu, Musliati Moslimin yang bukan sahaja turun padang bersama masyarakat setempat menerusi pelbagai program yang diatur, malah turut memanjangkan sumbangan hasil inisiatif Sekretariat Pendidikan UMNO Malaysia kepada para pelajar yang terlibat.
“Alhamdulillah… hari ini dapat melaksanakan amanah untuk menyerahkan sebahagian sumbangan untuk Pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan murid Sekolah Rendah Bahagian Kota Kinabalu yang terlibat.
“Sumbangan kepada 20 pelajar IPT dan 10 pelajar sekolah ini adalah hasil sumbangan daripada ahli UMNO menerusi inisiatif Sekretariat Pendidikan UMNO Malaysia dalam usaha membantu anak-anak yang memerlukan. Nilai sumbangan walaupun sekecil mana sekalipun, insya-Allah sekurang-kurangnya dapat membantu mana yang perlu,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.
Kata beliau lagi yang juga Exco Wanita UMNO Malaysia, apa yang penting adalah usaha dan inisiatif pelbagai pihak sudah pasti akan dapat memberikan sedikit kelegaan selain memberi galakan kepada anak-anak untuk berusaha dengan lebih gigih bagi memastikan hasrat serta impian untuk melanjutkan pengajian ke menara gading tercapai.
“Semoga sumbangan ini akan bermafaat buat mereka yang terlibat. Terima kasih Sekretariat Pendidikan UMNO Malaysia atas inisiatif ini.
“Semoga pada masa akan datang dana ini akan dapat membantu lebih ramai lagi anak-anak yang memerlukan dan insya Allah kita akan berusaha sebaiknya demi masa depan dan kejayaan bersama,” ujarnya. – UMNO Online