‘Hadi Awang Pemimpin Parti Politik Yang Kecewa’ – Dusuki
KUALA LUMPUR, 9 Okt – Pengerusi Majlis Ulama UMNO, Datuk Dusuki Ahmad menyifatkan Tan Sri Abdul Hadi Awang sebagai pemimpin parti politik yang kecewa.
Katanya ini kerana, meskipun memiliki kerusi Parlimen yang melebihi daripada sekutunya, PPBM namun Pas dilihat hanya bergantung kepada rakannya itu kerana ketiadaan pemimpin yang berkredibiliti daripada Pas.
“Hadi Awang ini seorang pemimpin politik yang kecewa tidak mempunyai tokoh yang besar dalam kalangan pemimin Pas ni. Menang 43 kerusi Parlimen tapi kempen untuk jadikan Perdana Menteri daripada PPBM yang ahli Parlimen hanya 31 orang saja.
“Menunjukkan dia sendiri tidak percaya kepada parti dia sendiri kerana tahu bahawa tidak ada ketokohan dalam kalangan Pas untuk menduduki jawatan-jawatan yang penting dalam pentadbiran negara.
“Waktu Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob jadi Perdana Menteri ada tiga kementerian diberi kepada pemimpin Pas semuanya boleh kata kucar-kacir kerana tidak ada satu benda baru pun yang dibawa oleh pemimpin Pas,” katanya ketika ditemui UMNO Online.
Menurut Dusuki lagi, meskipun Pas mempunyai kekuatan akar umbi namun ia disebabkan sikap mereka yang menggunakan sentimen agama bagi meraihkan sokongan sebagai kepentingan survival politik.
“Sokongan bawahan memang ada kerana dia memperalatkan agama kerana orang Melayu ni sayang kepada agama terlalu tinggi sampai kepada fanatik.
“Sehingga mereka mengharapkan Pas dapat memberi sesuatu tapi sudah dibuktikan ketika Pas berada dalam kerajaan, tapi tidak dapat membahas sesuatu,” katanya lagi.
Terdahulu Hadi Awang pada sesi ceramahnya yang tular baru-baru ini mengatakan bahawa kedudukan Islam pada ketika ini dalam bahaya, perkara tersebut turut sama mendapat respon daripada Perdana Menteri.
Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kerajaan tidak akan mengubah ketetapan Islam sebagai agama rasmi dalam Perlembagaan Persekutuan sebagaimana didakwa oleh pembangkang. – UMNO Online