UMNO Sabah Tegas Tolak Penyelewengan Nama Parti Untuk Kepentingan Politik
KOTA KINABALU, 8 Okt – Pengarah Jabatan Pilihan Raya UMNO Sabah, Jeffery Nor Mohamed, membidas mana-mana pihak yang menggunakan nama UMNO dengan tujuan mengelirukan rakyat demi meraih keuntungan politik.
Katanya, mana-mana pihak khususnya parti lawan tidak perlulah menggunakan nama UMNO atas alasan bagi mengadakan kerjasama dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) kerana ia seolah-olah mencemarkan maruah dan harga diri UMNO sebagai sebuah parti yang berjuang untuk rakyat.
“Cukup-cukuplah menggunakan cara politik lama. Tumpukan usaha kepada penyelesaian masalah yang dihadapi oleh rakyat Sabah sekarang,” katanya.
Jeffery Nor menegaskan bahawa UMNO Sabah telah memberi ruang untuk menangani isu-isu rakyat dengan berharap agar masa yang ada digunakan untuk membantu masyarakat dan bukan untuk berpolitik dengan isu-isu yang tidak memberi manfaat.
Beliau turut menekankan komitmen UMNO Sabah dalam memperjuangkan pelbagai isu yang relevan dengan rakyat, termasuk masalah kebajikan, pembangunan infrastruktur, dan pemulihan ekonomi pasca-pandemik.
“Rakyat Sabah sedang menghadapi pelbagai cabaran, dan adalah menjadi tanggungjawab kepada kerajaan Negeri Sabah untuk memastikan mereka mendapat sokongan yang diperlukan,” ujarnya kepada UMNO Online berkaitan hal terbabit.
Jeffery Nor yang juga Ketua UMNO Bahagian Putatan, menjelaskan bahawa apa-apa keputusan untuk parti di negeri terbabit dilaksana dalam mesyuarat kepimpinan UMNO Sabah dan bukan keputusan yang dibuat secara tergesa-gesa oleh segelintir pemimpin di peringkat nasional.
“Memang ketika itu ada seorang atau dua yang tidak hadir, tetapi keputusan diambil melalui suara majoriti,” tambahnya.
Beliau menekankan bahawa UMNO Sabah mempunyai pendirian dan prinsip yang jelas, dan tidak akan mudah dipengaruhi atau ditarik ke mana-mana arah tanpa persetujuan yang tegas secara konsensus.
Jeffery Nor juga mengingatkan semua pihak agar tidak meremehkan kebolehan dan kekuatan UMNO Sabah dalam memperjuangkan hak rakyat.
“Kami mempunyai sejarah dan legasi yang kuat dalam memperjuangkan kepentingan rakyat Sabah. Sejak penubuhannya, UMNO telah menjadi salah satu tonggak utama dalam politik Sabah, dan kami akan terus berjuang demi masa depan yang lebih baik untuk semua rakyat,” katanya.
Beliau juga menyeru semua ahli dan penyokong UMNO agar bersatu dan fokus kepada misi utama, iaitu membantu rakyat dan menyelesaikan masalah yang dihadapi mereka.
Dalam hal ini katanya, UMNO Sabah sedang merangka pelbagai program kebajikan dan pembangunan untuk memperbaiki taraf hidup rakyat, termasuk projek-projek yang memberi manfaat kepada golongan yang kurang berkemampuan.
“Pendirian tegas UMNO Sabah ini diharapkan dapat memberikan kejelasan kepada rakyat tentang komitmen parti dalam menjaga maruah dan prinsip perjuangan.
“Kita akan terus berjuang untuk memastikan suara rakyat didengar dan keperluan mereka dipenuhi, serta menjadi pengingat kepada pihak-pihak lain untuk menghormati nama UMNO dan tujuan asal penubuhannya,” katanya lagi. – UMNO Online