TVET Ke China: Bakal Tingkat Kebolehpasaran Belia, Perkasa Tenaga Kerja Kemahiran Tinggi
KUALA LUMPUR, 8 Okt – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi percaya bahawa program latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) ke China mampu untuk meningkatkan kebolehpasaran belia di samping memperkasa tenaga kerja berkemahiran tinggi negara.
Beliau yang juga Presiden UMNO telah menghadiri Majlis Pelepasan Peserta Malaysia-China Youth TVET Training (MCYT) di Kuala Lumpur International Airport (KLIA) pada Isnin.
“Selesai program di Kulim Hi-Tech Park, saya terus bergegas ke KLIA untuk bersama-sama dengan 200 orang anak muda kita yang akan berangkat ke China bagi menjalani latihan TVET dalam bidang-bidang penting seperti Kenderaan Elektrik (EV), Kecerdasan Buatan (AI), Internet of Things (IOT) dan Teknologi Elektrik & Elektronik (E&E) di sana.
“Program ini merupakan hasil kerjasama erat antara Malaysia dan China di bawah Malaysia-China Institute (MCI). Sehingga kini, seramai 1,776 belia tempatan telah menerima manfaat daripada program ini dengan mendapat peluang untuk menimba ilmu serta kemahiran terkini di institusi TVET terkemuka di China.
“Dalam majlis ini juga, satu Memorandum Persefahaman telah dimeterai antara Kolej RISDA dan Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (Belia Mahir). Kerjasama ini bakal membawa manfaat besar dalam pembangunan TVET melalui penubuhan MCI@RISDA yang akan menjadi hub latihan TVET dalam sektor Halal, Mekanisasi Perladangan dan Pertanian Moden,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.
Menurutnya, inisiatif tersebut akan dapat memberi impak positif kepada pembangunan negara di samping memperkukuhkan hubungan Malaysia-China.
“Sebagai Pengerusi Majlis TVET Negara, saya percaya bahawa latihan ini bukan sahaja akan meningkatkan kebolehpasaran belia kita, malah ianya akan menjadi pemangkin dalam usaha memperkasakan tenaga kerja berkemahiran tinggi di Malaysia.
“Inisiatif seperti ini bukan sahaja dapat memperkukuhkan hubungan dua hala diantara Malaysia dengan China, tetapi ianya juga secara tidak langsung akan dapat memberi impak positif kepada pembangunan negara dalam jangka masa panjang,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berharap agar para peserta memanfaatkan peluang diberikan sebaik mungkin dan pulang dengan semangat untuk membangunkan negara.
“Tahniah saya ucapkan kepada semua peserta. Anda adalah duta kecil negara kita. Manfaatkan peluang ini sebaik mungkin, timba pengalaman serta ilmu baharu dan pulanglah nanti dengan semangat untuk membangunkan dan berbakti kepada tanah air kita yang tercinta ini.
“Selamat maju jaya kepada semua! Saya doakan semoga segalanya dipermudahkan oleh Allah SWT,” katanya lagi. – UMNO Online