Ramli, Orang Asli Pertama Anggotai MKT UMNO – SUA
KUALA LUMPUR, 8 Okt – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyifatkan pelantikan Ahli Parlimen Cameron Highland, Datuk Dr Ramli Mohd Nor sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO semalam membawa manifestasi tersendiri.
Menurut beliau ini kerana Dr Ramli menjadi Orang Asli pertama yang menganggotai organisasi tertinggi UMNO.
“Tahniah diucapkan kepada Datuk Dr Ramli Mohd Nor, Ahli Parlimen Cameron Highlands yang mengangkat sumpah atas pelantikan sebagai MKT UMNO.
“Ia merupakan detik bersejarah apabila beliau menjadi Orang Asli pertama yang menjadi Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Dr Asyraf dalam pada itu berkata ia membuktikan komitmen UMNO untuk menghargai dan memperjuangkan kepentingan semua rakyat Malaysia, tanpa mengira latar belakang termasuk orang asli.
“UMNO akan terus komited untuk memperjuangkan suara dan hak-hak masyarakat Orang Asli dan memberi peluang kepada mereka untuk bersama-sama memacu kegemilangan negara dalam landskap politik negara,” ujar beliau.
Terdahulu, pelantikan Dr Ramli yang juga Timbalan Yang Di-Pertua Dewan Rakyat itu dilakukan malam tadi pada mesyuarat MKT UMNO dipengerusikan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. – UMNO Online