Puteri UMNO Perlu Miliki Anjakan Paradigma Perkasakan Parti – Bung Moktar

KUNDASANG, 8 Okt – Ahli-ahli Puteri UMNO digesa agar memiliki anjakan paradigma, terus aktif dan berevolusi seiring dengan perubahan zaman bagi membantu memperkasakan parti.

Ketika membuat gesaan ini, Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, ahli Puteri UMNO perlu menyedari mereka merupakan sebahagian dari komponen penting dalam organisasi parti.

“UMNO merupakan sebuah organisasi yang besar. Wanita, Pemuda dan Puteri merupakan sebahagian dari komponen yang mendukung kekuatan tersebut. Jika salah satu daripada komponen ini lemah, maka akan lemah sesebuah organisasi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan khas kepada Puteri UMNO di perkampungan sayap terbabit yang diadakan di sini, baru-baru ini.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Setiausaha UMNO Sabah, Datuk Jafry Arifin; Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak; Ketua Puteri UMNO Malaysia, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi dan Ketua Pergerakan Puteri UMNO Sabah, Ummi Nabilah Jamal.

Bung yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah meminta Pergerakan Puteri UMNO agar menghakis tanggapan bahawa pergerakan terbabit tidak mempunyai peranan penting dalam memperkasakan parti.

“Puteri UMNO, bukan sekadar penyeri parti atau hanya berfungsi ketika pilihan raya berlangsung sebagai pengisi data. Hakikatnya jauh dari itu kerana Puteri UMNO mempunyai peranan serta tanggungjawab yang lebih besar, jadi buktikan anda sebagai pejuang sedia menghadapi segala cabaran demi memperkuatkan parti,” katanya.

Menurut Bung, Pergerakan Puteri UMNO perlu berkembang melangkau sempadan parti, berkolaborasi dengan sayap-sayap lain dan organisasi luar agar mereka dapat melihat sendiri kemampuan dan kelebihan pergerakan tersebut.

Dalam perkembangan yang sama, Bung yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO meminta Puteri UMNO memainkan peranan serta terlibat aktif dalam penggunaan media sosial sebagai platform mendekati masyarakat khususnya golongan muda.

“Platform media sosial boleh dijadikan sebagai sumber bukan sahaja untuk mempamerkan gerak kerja parti, namun ia perlu dijadikan medium untuk mengangkat masalah rakyat bagi diketengahkan kepada pihak berkenaan dan mempertahankan UMNO dari serangan provokasi dan fitnah yang melampau dari pihak lawan,” katanya.

Menurut Bung banyak isu yang dihadapi oleh rakyat di negeri ini iaitu daripada masalah keperluan prasarana asas hingga ke isu kemiskinan.

“Isu-isu ini boleh diangkat sebagai bahan kempen yang matlamatnya bukan untuk memfitnah mana-mana pihak namun adalah realiti yang perlu disampaikan kepada masyarakat.

“Puteri UMNO memainkan peranan aktif dalam penggunaan media sosial, tidak sekadar mempamerkan kegiatan-kegiatan parti, tapi menjadikan media sosial sebagai medium mengangkat masalah rakyat. Biar semua tahu, dan rakyat tidak terus dimomokkan dengan kenyataan-kenyataan retorik yang mengaburi mata mereka,” jelas Bung lagi. – UMNO Online

Oleh: Jaafar Wahid

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.