Malaysia-Kuwait Setuju Tubuh Jawatankuasa Rundingan Perolehan Pesawat F/A-18 Legacy

KUALA LUMPUR, 8 Okt – Malaysia dan Kuwait bersetuju menubuhkan sebuah jawatankuasa bersama untuk memulakan perbincangan serta rundingan bagi tujuan perolehan pesawat tempur jenis F/A-18 Legacy Hornet.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, beliau memulakan lawatan kerja rasmi ke Kuwait dengan kunjungan hormat ke atas Timbalan Perdana Menteri, Menteri Pertahanan dan Menteri Dalam Negeri Kuwait, TYT Sheikh Fahad Yousef Saud Al-Sabah.

“Lawatan kerja rasmi saya ke Kuwait dimulakan dengan kunjungan hormat ke atas Timbalan Perdana Menteri, Menteri Pertahanan dan Menteri Dalam Negeri Kuwait, TYT Sheikh Fahad Yousef Saud Al-Sabah di Kementerian Pertahanan Kuwait.

“Semasa pertemuan, saya telah menyatakan komitmen Malaysia untuk memperkukuh dan mempertingkat kerjasama pertahanan antara dua negara. Komitmen ini akan dizahirkan melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) yang kini berada di peringkat akhir.

“Hubungan sedia ada antara kedua buah negara akan terus ditingkatkan, meliputi latihan, pertukaran pegawai tentera, perkongsian maklumat dan penyelidikan serta pembangunan dalam teknologi pertahanan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO turut mengambil kesempatan untuk menzahirkan pendirian Malaysia mengenai situasi di Gaza dan Selatan Lubnan semasa pertemuan tersebut.

“Saya mengambil kesempatan berkongsi pendirian tegas Malaysia mengenai situasi di Gaza dan Selatan Lubnan. Pada saya, ketegangan perlu dihentikan dan bantuan kemanusian perlu segera disalurkan.

“Saya turut menyatakan hasrat Malaysia untuk memperoleh pesawat tempur jenis F/A-18 Legacy Hornet milik Tentera Udara Kuwait, dan telah menerima maklum balas positif daripada beliau mengenainya.

“Malaysia dan Kuwait bersetuju untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa bersama bagi memulakan perbincangan serta rundingan bagi tujuan perolehan pesawat tempur jenis Legacy Hornet berkenaan,” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.