Keprihatinan Tak Pernah Pudar, UMNO Beaufort Terus Aktifkan Gerak Kerja

BEAUFORT, 8 Okt – Ketua UMNO Bahagian Beaufort, Datuk Awang Aslee Lakat, meneruskan usaha murni parti dengan melaksanakan program menyantuni masyarakat di beberapa lokasi di sekitar kawasan terbabit.

Katanya, pelaksanaan berterusan program turun padang ini menunjukkan keprihatinan UMNO dalam meraikan momen penting dalam kehidupan rakyat serta memberikan sokongan moral kepada masyarakat dalam pelbagai perkara.

“Fokus UMNO adalah untuk memastikan aspirasi rakyat dapat dipenuhi. Marilah kita berganding bahu berkhidmat demi mencapai matlamat dan kejayaan yang lebih besar,” katanya kepada UMNO Online.

Tegasnya, UMNO sentiasa komited untuk memperkukuh parti dan menjaga kerjasama baik di antara semua pihak dalam masayarakat malah anggota parti sentiasa peka terhadap isu-isu yang dihadapi rakyat dan berusaha mencari jalan penyelesaian yang berkesan.

“Inisiatif ini menunjukkan komitmen UMNO Bahagian Beaufort untuk terus mendampingi masyarakat dan memberikan sokongan dalam pelbagai aspek kehidupan.

“Melalui program-program seperti ini, kami berharap dapat mendekatkan diri dengan rakyat serta mendengar suara dan keperluan mereka secara langsung, sekaligus membangun hubungan yang lebih erat dengan masyarakat setempat.”

Ujarnya, dalam menghadapi pelbagai cabaran semasa, UMNO Beaufort sentiasa menyemai tekad untuk terus meningkatkan keberkesanan program-program kebajikan dan pembangunan masyarakat.

“Ini termasuk pelaksanaan pelbagai projek yang memberi manfaat kepada rakyat, seperti program keusahawanan, latihan kemahiran, dan inisiatif pendidikan. Dengan langkah-langkah ini, UMNO ingin memastikan bahawa setiap rakyat di sini dapat menikmati kehidupan yang lebih baik dan berdaya saing.”

Terdahulu, beliau melalui ahli jawatankuasanya sentiasa mengaktifkan gerakan menyantuni masyarakat dalam pelbagai keadaan.

Terbaharu, rombongan yang diketuai oleh Naib Ketua UMNO Bahagian, Mohd Rashid Mathon, telah menghulurkan bantuan dan sokongan kepada mereka yang memerlukan, selaras dengan prinsip UMNO sebagai ‘dari rakyat untuk rakyat’.

Dalam kunjungan ini, mereka mengutamakan golongan yang memerlukan, termasuk memberi sumbangan prihatin kepada keluarga Mendiang Lazarus Samy Badsun di Kampung Batu 60 selain melawat Japat Juani di Kampung Rancangan Klias yang sedang menghidap stroke.

Turut disantuni beberapa individu di Kampung Kitang, Kampung Kekapor, Kampung Kebatu dan Kampung Tenambak yang sedang mempersiapkan untuk majlis perkahwinan anak-anak mereka.

Rombongan ini turut dihadiri oleh Ketua Wanita UMNO Bahagian, Juriffah Saffie serta jawatankuasa empat peringkat UMNO Bahagian Beaufort.

Ujar Awang Aslee, ini adalah salah satu langkah dalam usaha UMNO untuk memastikan setiap lapisan masyarakat mendapat perhatian dan sokongan yang sewajarnya.

“Keberadaan mereka di sisi individu-individu ini membuktikan komitmen UMNO untuk tidak hanya memberikan bantuan material tetapi juga sokongan emosi kepada masyarakat,” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.