UMNO Zahir Penghargaan Pada Pengundi Atas Kemenangan Besar PRK DUN Mahkota

 KUALA LUMPUR, 7 Okt – Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menzahirkan penghargaan kepada pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota atas kemenangan besar pada Pilihan Raya Kecil (PRK) baru-baru ini.

Demikian dalam kenyataan media yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki selepas keputusan ini dibuat dalam mesyuarat yang dilaksanakan malam ini dengan dipengerusikan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“UMNO mengucapkan penghargaan kepada pengundi DUN Mahkota atas kepercayaan yang diberikan kepada Barisan Nasional(BN) untuk memenangi kerusi tersebut dengan majoriti yang amat besar dalam Pilihan Raya Kecil(PRK) baru berlalu.

“UMNO merakamkan ucapan terima kasih kepada seluruh jentera parti Kerajaan Perpaduan Malaysia termasuk rakan-rakan parti komponen Barisan Nasional, Friends of BN dan Pakatan Harapan(PH) yang bekerja kuat sebagai satu pasukan hingga berjaya meyakinkan pengundi di DUN Mahkota.

“Mesyuarat menegaskan bahawa kemenangan ini tidak harus menjadikan UMNO angkuh dan bongkak, sebaliknya memastikan mandat yang diberikan rakyat dilaksanakan sebaik mungkin dengan penuh tawaduk dan beramanah,” katanya.

Tambah Dr Asyraf, kemenangan DUN Mahkota telah memberi isyarat yang jelas bahawa rakyat menerima model kerjasama Kerajaan Perpaduan.

“Kemenangan di DUN Mahkota juga memberikan isyarat jelas bahawa rakyat menerima baik model kerjasama Kerajaan Perpaduan Malaysia berteraskan prinsip kesederhanaan, toleransi, tidak ekstrem dalam memainkan sentimen agama mahupun bangsa yang boleh memudaratkan keharmonian rakyat berbilang kaum.

“Mesyuarat bersetuju untuk memperkukuhkan lagi kerjasama dan gerak kerja bersama di kalangan parti-parti komponen di dalam Kerajaan Perpaduan Malaysia sebagai satu manifestasi keseriusan dan komitmen UMNO bagi memastikan kelangsungan kestabilan politik, kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.

Seterusnya kata Dr Asyraf mengingatkan pada semua ahli UMNO agar berada di tahap kesiapsiagaan membantu rakyat dalam hadapi sebarang musibah bencana alam.

“Ahli UMNO di semua peringkat diminta untuk berada pada tahap kesiapsiagaan yang tinggi bagi membantu rakyat tanpa mengira ideologi parti mahupun kaum sebagaimana tradisi UMNO sejak dahulu dalam menghadapi sebarang musibah bencana alam khususnya musim tengkujuh yang mendatang,” ujarnya.

Terdahulu, Ahli Parlimen Cameron Hinghlands, Datuk Ramli Mohd Nor telah dilantik menjadi ahli MKT dan telah mengangkat sumpah malam ini. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.