Syed Hussien Berbesar Hati Santuni Warga Mahkota

KUALA LUMPUR, 7 Okt – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota, Syed Hussien Syed Abdullah berbesar hati menyantuni nenek berusia 93 tahun, nenek Kamariah yang merupakan penduduk di kawasan berkenaan.

Kunjungan itu dilakukan Syed Hussien selepas mendapat maklumat bahawa nenek tersebut meluahkan kesyukuran dengan kemenangannya melalui kaedah tradisional.

“Sebelum ini saya ada dapat satu komen daripada Facebook ada seorang mak cik sampai tabur beras pulut untuk meraikan kemenangan.

“Hari ini saya ambil peluang curi masa sedikit untuk pergi ke rumah mak cik tersebut,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Kehadiran Syed Hussien ke kediaman nenek Kamariah juga disambut dengan taburan beras pulut sebagai meraikan kunjungan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang itu ke rumahnya.

Turut bersama ahli keluarganya, nenek Kamariah mengambil kesempatan tersebut menceritakan niatnya menaburkan beras tersebut.

“Doakan semoga supaya mudah mudahan Allah panjangkan umur, sudah niat kalau Hussien menang nak tabur beras kuning dan bacaan surah Yasin.

“Asal usul (tabur beras kuning) zaman dahulu lagi tapi kalau boleh jangan dibuang generasi muda,” ujar beliau.

Syed Hussien juga turut meluahkan keterujaannya sambil mendoakan nenek Kamariah diberikan kesihatan yang baik dan dipanjangkan umur.

Syed Hussien, 40 tahun telah mengangkat sumpah jawatan pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar pada Khamis lalu selepas memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Mahkota pada 28 Sept.

Beliau mengangkat sumpah di hadapan Speaker DUN Johor Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.