Laksanakan Amanah, Kerajaan Perpaduan Iktiraf JPKKP Di Sabah – Bung Moktar

TENOM, 7 Okt – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menegaskan tidak timbul isu dari mana-mana pihak di negeri ini yang kononnya tidak mengiktiraf pewujudan Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) kerana ia diiktiraf oleh Kerajaan Perpaduan.

Sehubungan itu, beliau berkata mereka yang telah menerima watikah pelantikan sebagai pengerusi JPKKP perlu menjalankan tugas dengan penuh amanah serta membuktikan keupayaan serta tanggungjawab di kampung masing-masing.

“Pikul tanggungjawab serta amanah yang diberikan, jangan hilang fokus, jika kerajaan negeri tidak mengiktiraf pelantikan ini, maka kerajaan pusat yang mengiktiraf pelantikan tuan-tuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan penyerahan watikah pelantikan JPKK (Komuniti Desa Madani) untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemabong dan Melalap di Dewan Masyarakat Datuk Seri Panglima Antanom, di sini kelmarin.

Hadir sama Setiausaha Politik Timbalan Perdana Menteri, Datuk Jamal Nerubi; Wakil Rakyat DUN Melalap, Datuk Peter Anthony; Ketua UMNO Bahagian Tenom, Datuk Raimee Unggi; Pegawai Kemas Daerah Tenom, Riyanti Mikail dan Pengurus GiatMARA Tenom, Didie Norhazrilah Latif.

Menurut Bung yang juga Ketua UMNO Sabah, pewujudkan jawatan JPKKP di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di negeri ini bertujuan untuk mengimbangi kuasa di peringkat daerah oleh kerajaan negeri.

Ujarnya, ini membabitkan pemimpin akar umbi sebelum ini seperti ketua daerah, ketua anak negeri, ketua kampung, pemaju mukim, pengerusi JKKK dari UMNO/BN ditukar atau ditamatkan perkhidmatan mereka dan kini dimonopoli oleh satu kelompok dari satu parti sahaja.

“Dalam DUN, dalam ucapan pemimpin utama negeri, mengakui menyokong konsep Kerajaan Perpaduan, namun sebaliknya bukan setakat pelantikan jawatan yang tidak seimbang malahan kawasan DUN yang diwakili wakil rakyat dari UMNO/BN pun tidak mendapat peruntukan tahunan,” jelasnya.

Sehubungan itu menurut Bung, UMNO/BN Sabah, terpaksa berunding dengan kerajaan pusat khususnya KKDW bagi mewujudkan JPKK di Sabah untuk mengimbangi keperluan pembangunan berdasarkan kepada kepadatan serta geografi Sabah khususnya di luar bandar yang masih memerlukan perhatian dari aspek pembangunan dan peningkatan ekonomi rakyat.

“Kita yakin dengan kewujudan JPKK di setiap kampung di negeri ini maka ia mampu memperkasakan lagi aspek pembangunan dan peningkatan ekonomi masyarakat luar bandar yang masih memerlukan perhatian dari kerajaan pusat.

“Walaupun kerajaan negeri telah mengiktiraf kerana kononnya rakyat Sabah sudah bebas dari garis kemiskinan namun sebaliknya masih ada rakyat di kawasan luar bandar masih memerlukan pembelaan,” katanya.

Tambah Bung yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan, dengan dana peruntukan sebanyak RM100 ribu setahun kepada setiap JPKK di negeri ini, ia boleh dimanfaatkan untuk meningkatkan kualiti hidup dan ekonomi masyarakat desa.

“Ini boleh digunakan sama ada untuk projek-projek kecil dan program ekonomi seperti penganjuran kurus jahitan, makanan dan kraftangan bagi memberikan kemahiran kepada penduduk untuk menceburi bidang perniagaan bagi meningkatkan taraf ekonomi mereka.

“Selepas pelantikan ini Kemas akan memberikan taklimat atau kursus untuk menyelaraskan fungsi serta peranan JPKK terutamanya untuk membuat perancangan dan pelaksanaan projek/program di kampung di samping menggerakkan penglibatan komuniti setempat,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Jaafar Abd Wahid

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.