Kerjasama Baharu Pendidikan Mampu Jana Kecemerlangan Akademik – Wan Rosdy
KUALA LUMPUR, 7 Okt – Kerjasama baharu pendidikan di Negeri Pahang mampu membawa kemajuan dalam kecemerlangan bidang akademik, penyelidikan dan inovasi di samping menyediakan peluang berharga untuk komuniti institusi pendidikan tinggi yang terlibat.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerjasama pendidikan antara Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) dan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dengan Mohamad Bin Zayed University for Humanities (MBZUH) telah dimeterai baru-baru ini di Abu Dhabi.
“Patik menjunjung setinggi-tinggi kasih ke sisi Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah yang telah mengilhamkan kerjasama pendidikan antara UnIPSAS dan UMPSA dengan MBZUH.
“Alhamdulillah, kerjasama yang penuh makna ini telah dimeterai baru-baru ini di MBZUH, Abu Dhabi,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.
Jelasnya, kerjasama menerusi memorandum persefahaman (MoU) itu melibatkan pelbagai bidang akademik dan penyelidikan antara ketiga-tiga institusi pengajian tinggi tersebut.
“Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, selaku Penaung Pro Canselor UMPSA dan Canselor UNIPSAS telah berkenan untuk menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi ketiga-tiga institut pengajian tinggi ini.
“Kerjasama menerusi MoU ini membuka peluang yang amat signifikan dalam pelbagai bidang akademik dan penyelidikan, termasuklah Program Dual Ijazah; Muádalah (Pengiktirafan Ijazah); Mobiliti Bukan Akademik; Pertukaran Pensyarah dan Pelajar; serta kerjasama dalam bidang Penyelidikan,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau turut mengucapkan tahniah kepada pihak-pihak yang terlibat dalam menjayakan kerjasama tersebut dan yakin bahawa ia bakal membawa kemajuan kepada pendidikan di Negeri Pahang.
“Syabas dan tahniah juga diucapkan kepada Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah (Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Pahang); Datuk Seri Ir Mohd Soffi Sri Abd Razak (Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang); Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad (Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa Dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang); dan Fadzli Mohamad Kamal (Exco Komunikasi Dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang) yang turut hadir ke majlis tersebut.
“Saya yakin kerjasama ini akan membawa kemajuan dalam kecemerlangan bidang akademik, penyelidikan dan inovasi serta menyediakan peluang berharga untuk komuniti ketiga-tiga institusi pendidikan tinggi ini,” katanya lagi. – UMNO Online