Kejayaan Di Mahkota Jadi Pemangkin… Terus Berkhidmat, Berusaha Perbaiki UMNO/BN

KUALA LUMPUR, 7 Okt – Kemenangan Barisan Nasional (BN) di Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota perlu dijadikan pemangkin untuk terus berkhidmat dan berusaha memperbaiki parti agar dijadikan pilihan rakyat pada masa akan datang.

Ketua Penerangan UMNO Bahagian Segambut, Mu’izz Nasruddin berkata, kemenangan tersebut turut berjaya mengukuhkan kedudukan BN disamping mendapat pengiktirafan rakyat kepada kepimpinan yang baik.

“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada sahabat saya, Syed Hussien Syed Abdullah atas kejayaan cemerlang beliau dalam PRK DUN Mahkota dengan majoriti yang membanggakan.

“Kemenangan ini bukan sahaja mengukuhkan kedudukan BN, tetapi juga menjadi pengiktirafan daripada rakyat terhadap kepimpinan baik dan usaha yang tidak kenal lelah.

“Pertama sekali, izinkan saya mengucapkan terima kasih kepada Presiden UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi atas keputusan bijak beliau dalam memilih calon muda di Mahkota,” katanya kepada UMNO Online.

Jelasnya, keputusan UMNO/BN meletakkan calon baharu dan muda menunjukkan bahawa parti berani merangkul perubahan di samping menghargai suara generasi muda.

“Keputusan ini menunjukkan bahawa UMNO berani merangkul perubahan dan menghargai suara generasi muda. Dengan memilih Syed Hussien, wakil daripada sayap Pemuda UMNO, kita bukan sahaja memberi peluang kepada pemimpin muda untuk menyuarakan pandangan dan harapan rakyat, tetapi juga memperkuatkan keyakinan bahawa UMNO sentiasa peka dengan kehendak serta aspirasi masyarakat.

“Keberanian dan ketelitian Datuk Seri Presiden dalam memilih calon ini adalah langkah strategik yang tepat. Saya percaya ia akan membuahkan hasil yang positif untuk parti dan rakyat.

“Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada seluruh saf kepimpinan UMNO, termasuk sayap-sayap Wanita, Pemuda, dan Puteri UMNO Malaysia yang telah bekerja keras tanpa mengenal penat lelah untuk meraih sokongan rakyat. Dedikasi dan komitmen yang ditunjukkan oleh semua pihak dalam kempen ini adalah bukti bahawa kita mampu meraih kepercayaan serta sokongan daripada rakyat,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut menekankan bahawa kerjasama dan pendekatan positif adalah ramuan rahsia kepada kejayaan UMNO/BN menakluk DUN Mahkota serta Nenggiri.

“Sementara itu, saya ingin memberi penghormatan khusus kepada Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang juga Pengarah Pilihan Raya BN untuk PRK DUN Mahkota. Kepimpinan beliau yang cemerlang dalam mengendalikan kempen ini jelas terlihat.

“Beliau menekankan pentingnya berkempen dengan cara yang sihat dan menjaga permuafakatan. Saya bersetuju bahawa kerjasama dan pendekatan positif dalam kempen adalah kunci kejayaan kita. Kita perlu terus mengamalkan politik yang sihat demi kepentingan rakyat.

“Namun, kita tidak seharusnya terlalu selesa dengan kejayaan yang telah diraih, termasuklah kemenangan di Nenggiri dan Mahkota. Kemenangan ini seharusnya menjadi pemangkin untuk kita terus berkhidmat kepada rakyat dan berusaha memperbaiki diri agar lebih disukai. Kita perlu memberi tumpuan kepada keperluan rakyat dan memastikan mereka sentiasa menjadi keutamaan dalam setiap tindakan kita,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau beranggapan bahawa parti perlu meneruskan agenda politik sihat dan memastikan segala keputusan serta tindakan berorientasikan rakyat.

“Saya ingin menegaskan bahawa kita harus meneruskan politik yang sihat dan menolak politik kotor. Kemenangan yang diraih dengan pendekatan politik yang baik ini menunjukkan bahawa rakyat lebih memilih politik positif dan membina. Ini adalah satu isyarat jelas bahawa rakyat tidak lagi mahu terjebak dalam polemik dan retorik kebencian.

“Jadi, marilah kita terus berjuang untuk menjaga amanah yang diberikan dan memastikan setiap keputusan dan tindakan kita berorientasikan rakyat. Dengan tekad dan komitmen yang tinggi, saya percaya UMNO akan terus relevan dan menjadi pilihan utama rakyat Malaysia.

“Sekali lagi, tahniah kepada Yang Berhormat Syed Hussien dan semua yang terlibat. Mari kita terus berjuang demi kesejahteraan rakyat dan negara!” katanya lagi.

Pada 28 September lalu, media melaporkan BN berjaya mempertahankan kerusi DUN Mahkota dengan majoriti lebih besar selepas calonnya, Syed Hussien Syed Abdullah memenangi PRK menewaskan calon PN, Mohamad Haizan Jaafar.

Syed Hussien yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kluang menang dengan majoriti 20,648 selepas meraih 27,995 undi, berbanding Mohamad Haizan atau Coach Haizan dengan 7,347 undi. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit