Jalinan Rakyat Sabah Diperkukuh, Libatkan Pemuda Dan Puteri UMNO – Bung Moktar
KEMABONG, 6 Okt – Fungsi Jentera Jalinan Rakyat (JR) akan diperkukuhkan dengan penglibatan dua lagi sayap utama parti iaitu Pergerakan Pemuda UMNO/Barisan Nasional (BN) dan Puteri UMNO.
Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, jika sebelum ini jentera JR lebih tertumpu kepada jentera Wanita UMNO, namun untuk memberikan keberkesanan kempen menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-17 akan datang, ia akan turut melibatkan Pemuda serta Puteri UMNO.
“Dari segi gerak kerja dan pendekatan ia akan diselaraskan. Pendekatan untuk mendekati pengundi muda ini berbeza, kerana mereka tidak begitu ke arah memilih parti.
“Mereka lebih senang jika parti mendekati dan mengadakan program yang memenuhi minat mereka dan ini boleh mendorong mereka menyokong BN, ” katanya ketika berucap merasmikan Pelancaran Jentera Jalinan Rakyat (JR) Wanita BN Bahagian P.181 Tenom di Dewan Masyarakat Sri Ontoros Kemabong pagi tadi.
Menurut Bung yang juga Ketua UMNO Sabah, penglibatan dua sayap utama parti berkenaan dalam JR diyakini mampu menjadi faktor pemangkin kejayaan parti bagi menghadapi PRN Ke-17 akan datang.
“Jumlah pengundi baharu akan terus bertambah setiap bulan secara automatik sehinggalah Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen dibubarkan. Justeru, jentera JR perlu bekerja dengan lebih kuat bagi mengenal pasti kecenderungan pengundi muda untuk menarik sokongan mereka terhadap parti,” katanya.
Dalam pada itu Bung berkata pelancaran Jentera JR Parlimen Tenom yang pertama di Sabah sebelum menghadapi PRN Ke-17 merupakan semboyan untuk menghadapi PRN yang kini berada di ambang pintu dan ia akan turut dilancarkan di seluruh kawasan Parlimen di negeri ini.
Sehubungan itu beliau berharap JR di setiap kawasan akan akan meningkatkan keberkesanan program JR sebagai platform utama sayap itu menghadapi pilihan raya umum akan datang.
Katanya fungsi setiap anggota JR amat penting kerana mereka yang tahu mengenai latar belakang pengundi di kawasan masing-masing.
“Mereka juga perlu tahu isu semasa dan menerangkan kepada pengundi di bawah jagaan masing-masing,” katanya.
Mengenai permintaan Wanita UMNO Tenom untuk meletakkan tiga empat calon dalam PRN-17 akan datang termasuk di Kemabong Bung berkata, beliau tidak akan berjanji, sebaliknya jika ada calon Wanita yang dikehendaki oleh majoriti rakyat dan boleh menang mungkin calon Wanita diletakkan lebih dari itu.
“UMNO/BN tidak akan memaksa rakyat menerima calon yang dicadangkan oleh parti, tapi akan memilih calon yang dimahukan oleh rakyat di kawasan berkenaan selain diyakini boleh menang,” katanya.
Bung yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO seterusnya mengingatkan agar jentera parti meletakkan semangat berpasukan sebagai keutamaan apabila nama calon diumumkan kelak.
“Siapa pun yang dipilih sebagai calon BN bagi menghadapi PRN Ke-17 akan datang semangat kerja berpasukan perlu diletakkan sebagai keutamaan. Tanpa kerjasama erat di kalangan pemimpin dan jentera parti berpuak-puak serta adanya unsur sabotaj, BN sukar mencapai kejayaan dalam PRN Ke-17 akan datang.
“Jika kita (BN) mahu menang berkerjalah dalam satu pasukan, bekerjalah cara orang mahu menang, kejayaan hanya akan dicapai jika kita bersatu padu,” jelas Bung.
Hadir sama ke majlis tersebut Setiausaha UMNO/BN Sabah Datuk Jafry Arifin, Bendahari UMNO/BN Sabah Datuk Seri Panglima Salleh Tun Said, Ketua UMNO Bahagian Tenom Datuk Raimee Unggi, Ketua Wanita UMNO/BN Sabah Senator Datuk Noraini Idris dan Ketua Wanita UMNO/BN Tenom Datuk Rahmahjan Sulaiman Khan.
Oleh: Jaafar Abd Wahid