Bajet 2025: Kurangkan Defisit Fiskal Dan Tingkatkan Pelaburan – Dr Masliha
KUALA LUMPUR, 6 Okt – Meskipun terdapat kemajuan dalam kestabilan politik dan ekonomi negara, Bajet 2025 yang bakal dibentangkan pada 18 Oktober depan memainkan peranan yang sangat penting dalam menentukan hala tuju Malaysia.
Exco Wanita UMNO Malaysia, Dr Masliha Harun berkata, bajet ini diharapkan bukan sahaja dapat mengecilkan defisit fiskal, tetapi juga mewujudkan ruang utama untuk pelaburan infrastruktur dan menyediakan laluan untuk membendung hutang negara.
Katanya, dengan latar belakang ekonomi global yang tidak menentu dan ketidaktentuan politik, Bajet 2025 dilihat sebagai satu alat penting untuk mengukuhkan kedudukan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
“Menurut data terkini daripada Kementerian Kewangan, defisit fiskal Malaysia dijangka berada pada 4.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pada tahun 2024. Langkah-langkah penjimatan dan strategi peningkatan hasil dalam Bajet 2025 adalah penting untuk mengurangkan angka ini ke tahap yang lebih selamat, sekaligus memastikan kestabilan kewangan jangka panjang.
“Data daripada Bank Negara Malaysia (BNM) menunjukkan peningkatan dalam Pelaburan Asing Langsung (FDI) sebanyak 8 peratus pada separuh pertama 2024 yang menandakan keyakinan pelabur terhadap ekonomi Malaysia. Bajet yang baik akan terus menarik pelaburan ini, memberi impak positif kepada ekonomi tempatan dan peluang pekerjaan.
“Pembangkang dilihat telah berusaha secara konsisten untuk menolak Bajet 2025 sebagai satu strategi politik. Usaha ini bukanlah sesuatu yang baru, kerana percubaan serupa telah dibuat pada bajet sebelumnya namun gagal. Penolakan bajet tanpa asas yang kukuh boleh menggugat kestabilan ekonomi negara, mengurangkan keyakinan pelabur, dan melemahkan kepercayaan rakyat terhadap sistem politik,” katanya kepada UMNO Online, di sini.
Mengulas lanjut, kata Dr Masliha lagi, bajet 2025 adalah ujian penting bagi kestabilan politik dan ekonomi negara dan harus mendapat sokongan dari semua pihak.
“Sokongan semua pihak, termasuk pembangkang adalah kritikal untuk memastikan bajet ini dapat dilaksanakan dengan jayanya. Dengan data yang menunjukkan peningkatan ekonomi dan kestabilan politik adalah penting untuk semua pihak bersatu dan menyokong usaha ini demi kebaikan rakyat.
“Kerjasama dan kesepakatan dalam politik adalah kunci untuk mencapai kestabilan dan kemajuan yang berterusan bagi Malaysia. Bajet yang baik bukan sahaja dapat memperkukuhkan ekonomi tetapi juga meningkatkan kesejahteraan rakyat secara keseluruhan,” jelasnya.
Dr Masliha yang juga Pengerusi Sekretariat Wanita Profesional, Wanita UMNO Malaysia menambah kedudukan Ringgit Malaysia (RM) semakin mengukuh adalah indikator kestabilan negara di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan.
“Sejak awal 2024, nilai ringgit telah meningkat sebanyak 2.3 peratus berbanding dolar Amerika, didorong oleh dasar-dasar ekonomi yang kukuh dan keyakinan pelabur.
“Kenaikan ini menunjukkan bahawa pelaburan dalam negara semakin meningkat yang seterusnya menguatkan lagi mata wang ringgit,” katanya lagi.
Pada masa yang sama tegas Dr Masliha, sekiranya pembangkang benar-benar prihatin terhadap kepentingan rakyat, mereka seharusnya menerima Memorandum Persefahaman (MoU) dan bertindak demi kepentingan rakyat, bukannya mengutamakan agenda peribadi.
“Menurut kajian oleh Merdeka Center, 67 peratus daripada rakyat Malaysia berpendapat bahawa kestabilan politik adalah penting untuk pertumbuhan ekonomi. Oleh itu, kerjasama antara Kerajaan dan pembangkang adalah kunci untuk mencapai kestabilan ini.
“Pembangkang sepatutnya lebih memahami situasi ini kerana mereka pernah berada dalam Kerajaan dan membuat MoU yang serupa sebelum ini. Pengalaman mereka dalam kerajaan seharusnya digunakan untuk memperkukuh lagi kerjasama politik demi kepentingan negara.
“Kajian menunjukkan bahawa kerjasama bipartisan dalam dasar ekonomi boleh membawa kepada peningkatan sebanyak 1.5 peratus dalam kadar pertumbuhan KDNK,” ujarnya.
Ujarnya lagi, sekiranya pembangkang bersetuju dengan MoU ini, rakyat di kawasan ahli Parlimen pembangkang juga akan lebih mendapat manfaat daripada peruntukan dan bantuan kerajaan. – UMNO Online