Tolak MoU: Buang Ego… Fahami Keutamaan Rakyat – Zuhir Ghazali

KUALA LUMPUR, 5 Okt – Keputusan Perikatan Nasional (PN) menolak draf Memorandum Persefahaman (MoU) yang dikemukakan oleh Kerajaan Perpaduan jelas membuktikan pembangkang masih berpegang kepada pendekatan politik lama yang tidak progresif.

Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Wan Muhammad Zuhir Ghazali berkata, sekiranya PN benar-benar ikhlas mahu membantu rakyat mereka sepatutnya menyambut baik usaha Kerajaan Perpaduan serta mewujudkan suasana harmoni.

“Buanglah ego… ini adalah masa untuk menunaikan mandat yang diberikan oleh rakyat kepada kalian. Tidak ada yang lebih besar melainkan perjuangan untuk membangunkan rakyat.

“Kerajaan Perpaduan telah membuka pintu seluas-luasnya untuk mengadakan kerjasama atau sesi rundingan. Bahkan pihak kerajaan bersedia dengan sebarang rundingan berkait MoU tersebut untuk diteruskan.

“Tindakan ini sekurang-kurangnya menggambarkan sifat sempit dan menjurus kepada kepentingan puak semata-mata. Tanpa memikirkan soal keutamaan rakyat. Seharusnya pihak pembangkang menyahut keterbukaan dan lapang dada daripada pihak Kerajaan Perpaduan dengan harapan dapat memberikan khidmat bakti kepada rakyat setempat,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Seterusnya kata Zuhir Ghazali lagi, sekiranya MoU dimeterai maka pembangkang memainkan peranan semak dan imbang yang lebih konstruktif.

“MoU ini memberi peluang kepada pembangkang untuk memainkan peranan semak dan imbang yang lebih konstruktif serta memastikan peruntukan diagihkan secara adil kepada semua Ahli Parlimen.

“Pendekatan yang dibawa Kerajaan Perpaduan ini membawa kestabilan politik negara kini bertukar menjadi drama politik tanpa kesudahan.

“Namun, tindakan pembangkang yang berterusan bermain politik jelas menunjukkan pengabaian kepentingan rakyat demi matlamat politik mereka,” katanya lagi.

Sebelum ini dilaporkan PN sebulat suara menolak draf MoU itu dengan alasan bercanggah dengan Perlembagaan dan cadangan tersebut bertentangan dengan nilai budaya, moral dan agama, boleh disalah tafsir dan salah guna kuasa serta mengongkong kebebasan. – UMNO Online


@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.