Monsun Timur Laut: Arahan NADMA No.1 Jadi Panduan Untuk Kurangkan Risiko, Impak Bencana
KUALA LUMPUR, 4 Okt – Arahan Agensi Pengurusan Bencana (NADMA) No.1 menjadi panduan utama dalam pengurusan bencana untuk mengurangkan risiko dan impaknya kepada negara ketika menghadapi musik Monsun Timur Laut.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat dalam persediaan menghadapi Monsun Timur Laut 2024/2025 pada Khamis.
“Semasa di Kota Tinggi, saya telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) Bil. 2/2024 yang melibatkan pelbagai agensi penting seperti NADMA, JPBM, PDRM, ATM, APM, KKM dan Jabatan-jabatan Kerajaan lain dalam persediaan menghadapi Monsun Timur Laut 2024/2025.
“Arahan NADMA No.1 yang baru diluluskan akan menjadi panduan utama dalam pengurusan bencana bagi mengurangkan risiko dan impak bencana di negara kita. Dengan arahan ini, kita menekankan strategi pengurusan risiko yang lebih menyeluruh dan inklusif.
“Saya juga menekankan bahawa persediaan menghadapi musim Monsun Timur Laut ini tidak hanya mengenai kesiapsiagaan semasa, tetapi juga melibatkan langkah-langkah berterusan untuk memantau kawasan hotspot banjir, memastikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) mencukupi dan menyelaraskan bantuan untuk semua yang terjejas oleh bencana,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.
Beliau yang juga Presiden UMNO turut menyeru orang ramai untuk mendapatkan maklumat mengenai perkembangan terkini di portal bencana rasmi.
“Seluruh Jawatankuasa Pengurusan Bencana di peringkat negeri dan daerah juga diarah untuk mengadakan simulasi dan latih amal bersepadu bagi memastikan kesiapsiagaan penduduk dan pihak berkuasa setempat berada di tahap optimum.
“Koordinasi awal antara Agensi Kerajaan, Majlis Daerah, badan sukarela, serta komuniti setempat amat penting untuk memastikan tindakan pantas dapat diambil sekiranya berlaku bencana.
“Orang ramai juga diingatkan untuk mengikuti perkembangan terkini melalui portal bencana rasmi di www.portalbencana.nadma.gov.my. Kerjasama semua pihak amat diperlukan bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat sentiasa terjaga,” katanya lagi.
Monsun Timur Laut 2024/2025 dijangka bermula pada November 2024 dan berterusan sehingga Mac 2025, dengan ramalan sebanyak empat hingga enam episod hujan lebat berterusan sepanjang tempoh itu.
Timbalan Ketua Pengarah (Strategik) Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) Ambun Dindang berkata episod hujan lebat dijangka berlaku di negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang antara November hingga Disember 2024 manakala hujan lebat dijangka lebih tertumpu di negeri Johor, Sabah dan Sarawak bermula Disember hingga Januari 2025. – UMNO Online