Jeffery Nor Saran UMNO Sabah Terus Siap Sedia Untuk Hadapi PRN
KOTA KINABALU, 4 Okt – Pengarah Jabatan Pilihan Raya UMNO Sabah, Jeffery Nor Mohamed mengingatkan semua pihak khususnya anggota parti agar terus bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Ini kerana katanya, biarpun tempoh penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah bakal berakhir Oktober tahun hadapan namun sekarang adalah waktu-waktu yang dianggap penting bagi terus bersedia.
“Sudah tentu pelbagai pihak meramal dan bagi kami di UMNO Negeri Sabah menjangkakan sebuah tempoh yang makin mendekat… menunggu signal daripada pihak lawan.
“Tetapi apa yang boleh berlaku sekarang ialah bagaimana kita menyiapkan jentera parti untuk menghadapi PRN ini. Bagi saya, ini bermula awal September yang saya anggap waktu-waktu yang penting kerana tempoh semakin mendekat.
“Jadi, jika kita tengok pada tarikh-tarikh perayaan atau tarikh-tarikh lain, kita menjangkakan sampai ke bulan Februari adalah satu jangkaan waktu-waktu kritikal,” katanya.
Justeru ujarnya, sebagai pengarah jentera PRN, beliau menyarankan kepada setiap jentera supaya sentiasa bersedia.
“Tidak kira apa juga keadaan kita sekarang, tetapi keperluan kita yang mendesak untuk menyiapkan jentera bagi menghadapi PRN ini,” ujarnya yang dipetik menerusi wawancara bersama ‘Demi Sabah’.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Putatan masih meneruskan gerak kerja menyantuni rakyat dan turun padang sebagaimana lazim dilaksana oleh kepimpinan parti.
“Ini adalah rutin harian apabila keadaan tidak berapa sibuk berjumpa dengan penduduk-penduduk di sekitar Parlimen Putatan. Amanah dan tanggungjawab saya,” katanya.
Terdahulu beliau telah meluangkan masa berkunjung di sekitar Kampung Muhibbah dan Kampung Contoh di Putatan bagi menyampaikan sumbangan berdasarkan kepada keperluan dan kemampuan yang ada.
“Insya-Allah kita akan terus membantu biarpun banyak kekurangan lantaran pelbagai kekangan namun itu semua bukan alasan untuk kami meneruskan khidmat bakti.
“Terima kasih kepada semua pihak yang sentiasa komited bersama-sama perjuangan UMNO dan menyokong usaha-usaha dilaksana dalam membantu rakyat,” katanya lagi. – UMNO Online