UMNO Labuan Komited Salur Bantuan, Jadi Wadah Antara Rakyat Dan Kerajaan

LABUAN, 3 Okt – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan, menegaskan komitmen parti untuk terus berusaha membantu rakyat tidak pernah pudar malah terus diaplikasi setiap masa dengan melaksanakan pelbagai gerak kerja.

Ujar beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Labuan, UMNO adalah parti yang lahir dari rakyat maka segala pelaksanaan juga adalah untuk rakyat, dengan tekad untuk memberikan bantuan terbaik kepada masyarakat setempat.

“UMNO berperanan sebagai jambatan antara rakyat dan kerajaan, menyalurkan maklumat serta membantu mereka yang memerlukan, terutama dalam mendapatkan bantuan daripada kerajaan,” jelasnya kepada UMNO Online.

Dalam hal ini, beliau menekankan pentingnya komunikasi yang berkesan antara pemimpin dan rakyat agar segala masalah dan keperluan dapat disampaikan dengan tepat dan segera.

Dalam masa yang sama, beliau juga merakamkan penghargaan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang menerajui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) lantaran menyalurkan pelbagai bantuan dan meringankan beban rakyat.

“Dalam era yang mencabar ini, kementerian tersebut telah melaksanakan pelbagai inisiatif bantuan untuk meringankan beban rakyat, termasuk melalui GiatMARA yang menawarkan bantuan baik pulih rumah kepada yang memerlukan.

“Kami menjadikan politik sebagai ibadah dan ingin memastikan setiap individu yang berhadapan dengan masalah termasuk perumahan mendapat perhatian yang sewajarnya,” tambahnya.

Selain itu, Mohd Rafi turut menyorot inisiatif lain yang telah diambil oleh UMNO dalam membantu golongan nelayan di Labuan.

“Melalui KKDW kami akan menerima bantuan bagi nelayan kecil iaitu bantuan untuk bubu bagi kegunaan mereka. Ini menunjukkan keprihatinan UMNO terhadap golongan yang bekerja keras untuk menyara keluarga, terutama dalam waktu yang sukar seperti sekarang,” katanya.

UMNO Labuan juga berusaha untuk meningkatkan kesedaran tentang program-program bantuan yang ada, agar lebih ramai rakyat yang layak dapat memanfaatkan inisiatif tersebut.

“Kami akan terus berusaha untuk mendekati rakyat, mendengar masalah mereka, dan memastikan bantuan yang disalurkan benar-benar memenuhi keperluan mereka,” ujarnya.

Dengan langkah-langkah ini, Mohd Rafi berharap agar sokongan dan kepercayaan rakyat terhadap UMNO terus kukuh kerana khidmat kepada rakyat sentiasa menjadi keutamaan.

“Kita harus bersama-sama membina masa depan yang lebih baik untuk generasi akan datang. UMNO sentiasa berada di sisi rakyat, dan kami komited untuk membawa perubahan yang positif.

“Dengan semangat kerjasama dan kesatuan, UMNO akan terus berjuang demi kepentingan rakyat dan memastikan suara mereka didengar di peringkat tertinggi.

“Kami percaya bahawa dengan usaha berterusan, kita dapat mencapai matlamat untuk menjadikan Labuan sebuah komuniti yang lebih sejahtera dan makmur,” tambahnya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.