PRK Mahkota Jadi Bukti Rakyat Mahu Kestabilan, Tolak Politik Kebencian – Mohd Zaidy
KUALA LUMPUR, 3 Okt – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir, menegaskan bahawa rakyat kini menginginkan kestabilan dan kemakmuran dalam menghadapi cabaran politik semasa.
Katanya, keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabtu lalu menjadi bukti bahawa politik kebencian yang sering diaplikasikan oleh pembangkang ditolak, terutamanya selepas beberapa siri PRK yang menunjukkan pola retorik negatif.
“Rakyat tidak lagi mahu terjebak dalam politik kebencian dan perpecahan. Mereka inginkan kestabilan yang dapat membawa kemakmuran sebagaimana Barisan Nasional (BN) mengamalkan politik kesederhanaan dengan fokus kepada pembangunan dan kemajuan,” katanya kepada UMNO Online.
Beliau menekankan bahawa pendekatan BN adalah untuk melaksanakan khidmat bakti dan menyantuni rakyat dengan cara berhemah serta menjauhi permainan politik yang tidak sihat.
Mohd Zaidy juga menegaskan bahawa rakyat telah memberikan isyarat jelas kepada pembangkang bahawa mereka menolak retorik dan tuduhan tidak berasas.
“Kita lihat bagaimana kempen pihak lawan di PRK Nenggiri dan terbaharu di PRK Mahkota yang kesemuanya lebih kepada bentuk serangan dan memburuk-burukkan BN, fitnah kepada calon iaitu Syed Hussien Syed Abdullah dan sehinggakan delegasi BN yang mengadakan lawatan ke China pun dijadikan bahan politik.
“Ketidakmatangan pembangkang berpolitik telah menterjemah visi mereka sendiri sedangkan China merupakan antara kuasa besar dunia yang dihormati sebaliknya pembangkang menjadikan ia bahan remeh dalam kempen.
“BN mahukan yang terbaik untuk negara dan China adalah negara maju yang dapat dijadikan contoh untuk dipelajari sebagaimana Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sendiri mengadakan jalinan dengan China untuk agenda TVET negara,” tambahnya.
Di samping itu, Mohd Zaidy juga merujuk kepada kemenangan hatrik BN di Pelangai, Nenggiri, dan Mahkota, yang dijangka akan memberikan impak besar kepada landskap politik Malaysia.
“Kemenangan ini membuktikan kepercayaan rakyat terhadap BN dan merangsang semangat kami untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di Sabah dan Johor serta menuju kepada Pilihan Raya Umum (PRU) kelak dengan lebih yakin,” ujarnya.
Justeru, beliau menyeru agar semua pihak bekerjasama demi kestabilan politik dan kemakmuran rakyat.
“Marilah kita bersama-sama membina negara yang lebih baik dengan mengutamakan kesejahteraan rakyat, bukan dengan menyebarkan kebencian,” tegasnya.
Dengan semangat perpaduan dan komitmen terhadap agenda pembangunan, Mohd Zaidy berharap agar semua pihak, termasuk pembangkang, dapat mendukung usaha untuk mencapai kebaikan bersama. – UMNO Online