MoU Persefahaman: Keengganan Pembangkang Satu Kerugian Kepada Pengundi – Dr Masliha
KUALA LUMPUR, 3 Okt – Keengganan pembangkang untuk berunding Memorandum Persefahaman (MoU) dengan baik bukan sahaja menunjukkan sikap sombong, tetapi juga membawa kerugian yang amat ketara kepada pengundi mereka.
Exco Wanita UMNO Malaysia, Dr Masliha Harun berkata, pengundi yang sepatutnya mendapat manfaat daripada perbincangan dan kerjasama antara kedua-dua pihak kini terpaksa berdepan dengan kelewatan dan ketidakpastian.
Jelas beliau, sekiranya pembangkang benar-benar memikirkan soal rakyat, mereka akan menerima MoU dan bertindak demi kepentingan rakyat, bukannya mengejar agenda peribadi.
“Sikap pembangkang yang enggan berunding secara konstruktif ini hanya akan melambatkan proses rundingan sekaligus menafikan hak pengundi yang mereka wakili.
“Pembangkang sepatutnya lebih memahami kepentingan untuk bekerjasama demi rakyat, memandangkan mereka juga pernah berada dalam kerajaan dan berpengalaman dalam mengendalikan MoU yang serupa sebelum ini.
“Namun… tindakan mereka yang angkuh ini hanya menunjukkan keengganan untuk menyokong Kerajaan Perpaduan dan kini mereka sendiri melambatkan proses rundingan untuk hak rakyat,” katanya kepada UMNO Online, di sini.
Dr Masliha yang juga Pengerusi Sekretariat Wanita Profesional, Wanita UMNO Malaysia menjelaskan tindakan pembangkang menolak cadangan Kerajaan Perpaduan ini jelas menunjukkan sikap politik sempit mereka.
“MoU yang disediakan oleh pihak kerajaan adalah dalam bentuk draf dan masih terbuka untuk dibincangkan secara terperinci.
“Sekiranya pembangkang mempunyai sebarang ketidaksetujuan atau cadangan, mereka sepatutnya membawa isu ini ke meja rundingan dan bukannya menjadikan ia sebagai isu di media,” katanya lagi.
Oleh itu kata Dr Masliha lagi, adalah penting bagi pembangkang untuk menunjukkan sikap yang lebih terbuka dan bertanggungjawab dengan menerima dan membincangkan MoU yang telah dicadangkan.
“Kerjasama antara semua pihak adalah kunci untuk memastikan kestabilan negara dan kesejahteraan rakyat.
“Penolakan dan sikap politik sempit hanya akan merugikan semua pihak terutamanya rakyat yang berharap kepada pimpinan yang bijaksana dan bertanggungjawab,” ujarnya.
Terdahulu dilaporkan Perikatan Nasional (PN) sebulat suara menolak draf MoU tersebut dan ini mencerminkan ketidakmatangan mereka memahami isi hati rakyat dan menstabilkan negara. – UMNO Online