Kunjungan Hormat: Semoga Hubungan Malaysia-Sri Lanka Terus Berkembang Kukuh – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 3 Okt – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengharapkan agar hubungan diplomatik yang terbina di antara Malaysia dan Sri Lanka terus berkembang kukuh.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau yang juga Presiden UMNO telah menerima kunjungan hormat daripada Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Colombo, Sri Lanka, Badli Hisham Adam pada Selasa.

“Saya turut menerima kunjung hormat daripada TYT Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Colombo, Sri Lanka, Badli Hisham Adam di pejabat saya.

“Pelbagai isu berkaitan hubungan dua hala antara Malaysia dan Sri Lanka serta peluang kerjasama yang boleh diperkukuhkan di masa hadapan dibincangkan dalam pertemuan ini.

“Semoga hubungan antara Malaysia dan Sri Lanka akan terus berkembang kukuh seterusnya membuka lebih banyak peluang untuk kerjasama yang bermanfaat dan membawa kemakmuran kepada rakyat kedua-dua negara. Insya-Allah,” katanya.

Untuk rekod, hubungan diplomatik antara Malaysia dan Sri Lanka telah terjalin sejurus selepas Malaysia mencapai kemerdekaan pada tahun 1957. Hubungan tersebut telah berkembang menjadi hubungan politik, ekonomi dan sosial yang kukuh sehingga hari ini.

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia yang pertama ke Sri Lanka ialah DYMM Tengku Indra Petra yang berkhidmat dari 1967 hingga 1972. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.