Tolak MoU: Kifarat Perikatan Nasional, Di Antara Ujub Dan Angkuh

BAGAI jelongak kerbau rampung, peribahasa yang paling sesuai menceritakan tindakan Perikatan Nasional (PN) yang jelik dan menjengkelkan.Tidak puas dengan gaya kempen memburukkan semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri dan DUN Mahkota, kini mereka tampil menjadi entiti yang seolah rakus mengejar nama, memenangi sorak di sosial media dengan pendekatan politik yang semakin lama semakin di luar kewarasan manusia.

Kali ini mentah-mentah menolak cadangan Kerajaan Perpaduan dalam memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi peruntukan ahli Parlimen pembangkang yang dilakukan dengan penuh toleransi. Langsung sedikit pun tidak menghiraukan keadaan rakyat, mereka menolak dengan rasa angkuh. Kalau mereka benar-benar ikhlas setidak-tidaknya mengusulkan penambahbaikan dalam cadangan tersebut sudah memadai tetapi langsung tidak mereka hiraukan.

Penolakan PN terhadap MoU dengan Kerajaan Perpaduan memunculkan pertanyaan kritikal mengenai kedudukan dan tanggungjawab ahli Parlimen. Dalam konteks ini, tindakan PN bukan hanya dilihat sebagai langkah politik, tetapi juga mencerminkan ketidakmatangan dalam mendukung usaha kerjasama yang diperlukan bagi kestabilan negara.

Satu daripada aspek utama yang perlu diperhatikan adalah peruntukan bagi ahli Parlimen dalam MoU tersebut, yang dirangka untuk memastikan pengagihan sumber yang lebih adil dan berkesan.

Penolakan terhadap peruntukan ini menunjukkan sikap mementingkan agenda politik sempit di atas kepentingan rakyat. Dalam keadaan di mana rakyat sedang berdepan dengan pelbagai cabaran, termasuk krisis ekonomi dan sosial, langkah PN ini adalah satu bentuk pengkhianatan terhadap tanggungjawab mereka sebagai wakil rakyat.

Dengan menolak MoU, PN telah mengabaikan peluang untuk terlibat dalam proses pembuatan keputusan yang inklusif dan berkesan. Mereka sepatutnya berfungsi sebagai pengawal dan pengimbang, bukan sebagai penghalang kepada inisiatif yang boleh membawa manfaat kepada masyarakat. Tindakan ini membuktikan bahawa perjuangan mereka lebih bersifat partisan, dan bukannya berdasarkan prinsip keadilan dan kesejahteraan rakyat.

Di samping itu, penolakan ini juga mencerminkan ketidakstabilan dalam politik Malaysia yang semakin memerlukan kolaborasi untuk menangani isu-isu mendesak. Dalam suasana politik yang kian tegang, keputusan PN untuk menolak kerjasama ini menimbulkan persoalan: Adakah mereka benar-benar berkomitmen untuk kepentingan rakyat, atau sekadar mempertahankan agenda politik masing-masing?

Mereka yang menolak MoU ini seharusnya sedar, bahawa politik bukan hanya tentang kekuasaan, tetapi juga tentang tanggungjawab kepada rakyat. Dalam tindakan menempelak, terdapat jeritan yang sia-sia, suara yang tidak mendengar, janji-janji yang terbang melayang tanpa arah.

Dalam bentang senja politik yang kian kelam, PN menolak tangan yang menghulur. Sebuah MoU yang diharapkan menjadi jambatan, dibalas dengan dingin. Di antara gelombang harapan dan kekecewaan, suara mereka mengalun, menempelak usaha untuk bersatu.

Mari kita singkap satu ayat dalam Al-Quranul Karim, yang menceritakan betapa Allah membenci sifat Ujub dan sombong dalam diri. Sebagaimana Allah berfirman,

‎لَا تَحْسَبَنَّ الَّذِينَ يَفْرَحُونَ بِمَا أَتَوا وَّيُحِبُّونَ أَن يُحْمَدُوا بِمَا لَمْ يَفْعَلُوا فَلَا تَحْسَبَنَّهُم بِمَفَازَةٍ مِّنَ الْعَذَابِ ۖ وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ

“Jangan sekali-kali engkau menyangka (wahai Muhammad, bahawa) orang-orang yang bergembira dengan apa yang mereka telah lakukan, dan mereka pula suka dipuji dengan apa yang mereka tidak lakukan – jangan sekali-kali engkau menyangka mereka akan terselamat dari seksa, dan mereka pula akan beroleh azab yang tidak terperi sakitnya.” – Surah Ali Imran (188)

Ujub hendaklah dirawat dan dihilangkan dengan proses penyucian diri serta menggantinya dengan akhlak yang mulia. Sifat mazmumah yang dibenci nabi ini harus diubati dengan amalan-amalan yang mendokong kepada penyatuan umat dan menyeru ke arah taqwa.
Bukannya mengajak masyarakat berpecah dan akhirnya mendorong untuk membenci sesama sendiri.

Marilah kita ingat, dalam setiap langkah ke depan, kita bukan hanya penentu masa depan politik, tetapi juga pengukir harapan untuk generasi akan datang. PN, dalam penolakan ini, seolah menutup mata kepada cita-cita perpaduan yang sepatutnya menjadi panduan. Adakah kita akan terus terperangkap dalam kegelapan, atau beranikan diri menjalin ikatan yang lebih kuat?


FAREEZAD KHAIRUDDIN
Penulis ialah Mahasiswa Jurusan Undang-undang dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit