Gerak Kerja Berpasukan… Kejayaan PRK Mahkota Azimat Ampuh Bina Semula Parti – Shaiful Hazizy

KUALA LUMPUR, 2 Okt – Gerak kerja berpasukan dan istiqamah berlanjutan adalah azimat yang paling ampuh untuk membina semula UMNO, kata Ketua Penerangan UMNO Negeri Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Merbok menerusi satu kenyataan memohon agar pergeseran pasca-Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota segera dihentikan dan mengambil kemenangan diperolehi sebagai satu muhasabah.

“UMNO Kedah mohon agar pergeseran dan cabar mencabar pasca-PRK Mahkota dihentikan serta-merta. UMNO Kedah menyarankan agar semua pihak mara ke hadapan, ‘move forward’ dalam masa yang sama meletakkan perbezaan dan masalah silam di belakang.

“UMNO Kedah juga ingin menyarankan agar UMNO mengambil kemenangan di PRK Mahkota sebagai satu loncatan untuk terus bermuhasabah dan mempertingkatkan usaha memperbaiki parti demi mendapatkan keyakinan rakyat,” katanya.

Jelasnya, beliau turut menasihatkan para pemimpin untuk tidak meletakkan pencapaian peribadi kerana ia bersifat sementara dan tidak memberi nilai tambah kepada parti.

“UMNO Kedah ingin menasihati agar mana-mana pemimpin untuk meletakkan pencapaian atau ‘rating’ peribadi di tepi dan pada masa yang sama, memposisikan UMNO di unjuran paling atas dalam apa jua kenyataan serta tindakan.

“Tindakan meletakkan ‘rating’ peribadi ini dibimbangi hanya bersifat sementara dan hakikatnya tiada nilai tambah sebenar kepada parti,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau beranggapan bahawa kemenangan BN di Mahkota adalah satu kejayaan kecil yang perlu dimanfaatkan untuk membina semula semangat parti.

“UMNO Kedah yakin, gerak kerja berpasukan dan istiqamah berlanjutan adalah azimat yang paling ampuh untuk membina kembali parti ini.

“UMNO Kedah juga percaya kemenangan di PRK Mahkota adalah satu kemenangan kecil yang perlu dimanfaatkan untuk kembali membina semangat dan terus fokus agar kembali bangkit,” katanya lagi.

Pada Sabtu, BN berjaya mempertahankan kerusi DUN Mahkota dengan majoriti lebih besar selepas calonnya, Syed Hussien Syed Abdullah memenangi PRK menewaskan calon PN, Mohamad Haizan Jaafar.

Syed Hussien yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kluang menang dengan majoriti 20,648 selepas meraih 27,995 undi, berbanding Mohamad Haizan atau Coach Haizan dengan 7,347 undi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit