Kemenangan BN Di Mahkota Dirai Sederhana, Pelbagai Faktor Cetus Kejayaan – Mohd Raqib

KUALA LUMPUR, 2 Okt – Kemenangan Barisan Nasional (BN) di Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota perlu diraikan secara sederhana kerana cabaran politik parti pada masa hadapan masih berliku.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah, Mohd Raqib Abu Hassan berkata, terdapat pelbagai faktor yang mencetuskan kejayaan BN di PRK Mahkota termasuklah pemilihan calon tepat oleh pucuk pimpinan.

“Syukur ke hadrat Allah SWT di atas kejayaan calon BN, Syed Hussien di PRK Mahkota… diberikan undi dalam satu angka besar, dengan melebihi majoriti 20,000 di PRK Mahkota tempoh hari.

“Terdapat beberapa faktor kemenangan di Mahkota. Pertama, penerimaan masyarakat di Negeri Johor terhadap Menteri Besar yang sentiasa peduli kepada rakyat di Johor itu sendiri. Beliau sentiasa sensitif dan prihatin terhadap segala permasalah rakyat di Johor.

“Syed Hussien merupakan calon yang tepat di kerana beliau muda, baru dan tidak tercalar dengan isu politik. Beliau juga adalah seorang calon yang sentiasa menjalankan aktiviti kemasyarakatan sebelum dipilih oleh pucuk pimpinan,” katanya kepada UMNO Online.

Menurutnya, kebolehan BN mentadbir negara bersama Kerajaan Perpaduan berbanding Perikatan Nasional (PN) turut menjadi penyumbang kepada kemenangan di PRK Mahkota.

“Undi melayu kembali kepada kita apabila mereka melihat BN di bawah Kerajaan Perpaduan ini mampu untuk mentadbir berbanding PN. Walaupun peratus keluar mengundi tidak mencapai 60 peratus, undi tentera dan polis juga berpihak kepada BN.

“PRK Mahkota bukan hanya berkisar kemenangan besar tetapi yang lebih penting adalah penerimaan rakyat terhadap formula BN-PH sudah mula memahat dihati mereka.

“Modal Kempen 3R (raja, bangsa, agama), UMDAP dan fitnah sudah tidak menjadi modal untuk rakyat terima. Kita sebagai rakyat inginkan ‘politic fundamental’ seperti khidmat bakti, kestabilan, pengukuhan ekonomi dan keharmonian di kalangan pelbagai kaum,” katanya lagi.

Di samping itu, beliau turut mengingatkan ahli dan para pemimpin parti untuk tidak gopoh dan dengan kejayaan yang diukirkan dalam beberapa siri PRK yang telah berlangsung.

“Ini asas politik berkonsepkan ‘menang-menang’ buat semua pihak termasuk pemegang-pemegang taruh dalam negara kita. Bukan hanya segelintir masyarakat yang berorentasikan hanya satu kaum mendapat faedah dan keuntungan.

“Akhir kata, kejayaan BN di PRK Mahkota sudah tentu kita raikan secara sederhana begitu pun perjalanan mendepani cabaran politik parti UMNO pada masa hadapan masih berliku.

“Sedikit demi sedikit usaha kita ukirkan kejayaan. Jangan terlalu tergesa-gesa kerana jika sifat gopoh, tamak dan bercakaran sesama kita berlaku ianya akan merosakkan impian kita untuk menjadi tunjang kepimpinan negara pada masa akan datang,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau mengucapkan tahniah kepada seluruh kepimpinan parti di atas kemenangan tersebut.

“Sekalung tahniah saya ucapkan buat kepimpinan utama diterajui Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, jentera dari seluruh Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), kepimpinan bahagian dan sayap parti yang bertungkus lumus untuk memenangkan calon BN di Mahkota.

“Formula yang perlu untuk menang… jika kita bersatu, kemenangan pasti menjelma,” katanya lagi.

Pada Sabtu, BN berjaya mempertahankan kerusi DUN Mahkota dengan majoriti lebih besar selepas calonnya, Syed Hussien Syed Abdullah memenangi PRK menewaskan calon PN, Mohamad Haizan Jaafar.

Syed Hussien yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kluang menang dengan majoriti 20,648 selepas meraih 27,995 undi, berbanding Mohamad Haizan atau Coach Haizan dengan 7,347 undi. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.