Aplikasi Bersatu, Bersetia, Berkhidmat, Bukti UMNO Bukan Parti Bermusim – Awang Aslee

MENUMBOK, 2 Okt – “Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.” Dengan semangat ini, UMNO Bahagian Beaufort telah meneruskan aplikasi turun padang selari dengan komitmen kepada asas perjuangan parti, iaitu ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’.

Ketuanya, Datuk Awang Aslee Lakat menegaskan bahawa gerak kerja yang dilaksana parti menyantuni rakyat setiap masa adalah antara bukti bahawa UMNO bukan bermusim melakukan gerak kerja.

“Atas nama perjuangan, kita saling bantu membantu dan saling menyokong bagi meneruskan perjalanan. Kekuatan UMNO adalah kekuatan kita dalam satu keluarga besar. Itulah yang menyebabkan UMNO terus kuat dan perkasa,” katanya kepada UMNO Online.

Terdahulu beliau telah mengetuai program ziarah kepada keluarga Allahyarham Awang Amit di Kampung Tepi Laut dan mendiang Yaw Yu Ti di Kampung Darat, di sini semalam.

Dalam lawatan tersebut, turut diziarahi adalah mereka yang uzur iaitu Pg Sabtu Pg Damit di Kampung Laut yang mengalami kesukaran untuk bergerak, Azmi Alias yang sedang berjuang melawan kanser, Zainal Senang yang lumpuh akibat kemalangan, serta Aidah Md Yassin di Kampung Sekalong Menumbok yang menghadapi masalah penglihatan.

Ujar Awang Aslee, keberadaan UMNO pada hari ini adalah hasil sokongan dan dukungan daripada akar umbi, maka kerana itulah agenda turun padang untuk bersama dilaksana sentiasa.

“Kecekalan dan kesetiaan anggota akar umbi adalah asas kekuatan UMNO, dan kerana itu bahtera parti kekal belayar,” katanya.
Katanya, dalam program tersebut, kepimpinan UMNO bukan sahaja membawa bantuan fizikal tetapi juga turut memberikan sokongan moral kepada mereka yang memerlukan.

“Ini adalah antara kesedaran bahawa masyarakat memerlukan kehadiran dan sokongan yang lebih daripada sekadar janji politik dan menjadi pendorong kepada ahli parti untuk terus bersatu, bersetia dan berkhidmat.

“Setiap tindakan kita harus berlandaskan nilai kemanusiaan dan keikhlasan. Kita perlu memastikan bahawa setiap bantuan yang disalurkan memberi impak yang positif kepada kehidupan mereka yang menerima.”

Program ini turut disertai oleh pemimpin lain termasuk Ak Mohd Yazri bin Ak Yahya selaku Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian, serta beberapa ahli jawatankuasa dan ketua cawangan.

“Semua pemimpin ini bersama-sama menunjukkan kesatuan dan komitmen untuk berkhidmat kepada masyarakat yang membuktikan bahawa UMNO sentiasa berada di samping rakyat dalam suka dan duka.

“Menyantuni masyarakat bukan sahaja memberi manfaat kepada penerima bantuan, tetapi juga memperkuatkan hubungan antara parti dan rakyat. Dengan mendengar dan memahami keperluan masyarakat, UMNO dapat merangka strategi dan program yang lebih relevan dan berkesan.

“Ini juga adalah satu langkah penting dalam usaha untuk mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap UMNO sebagai parti yang peka dan responsif terhadap isu-isu masyarakat. Melalui program-program seperti ini, diharapkan agar semangat kebersamaan dan kerjasama dalam kalangan ahli UMNO dapat terus diperkukuhkan dan menjadikan kita lebih bersatu dalam menghadapi segala cabaran yang mendatang,” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.