STM Nyata Komitmen, Terus Sokong Usaha Negara Bangunkan Industri Pertahanan Tempatan – Mohamed Khaled

KUALA LUMPUR, 1 Okt – Syarikat pertahanan Republik Turkiye, Savunma Teknolojileri Muhendislik ve Ticaret A.S (STM) telah menyatakan komitmen untuk terus menyokong usaha Malaysia membangunkan industri pertahanan tempatan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menerusi hantaran di laman Facebooknya memaklumkan bahawa beliau telah menerima kunjungan daripada STM pada Isnin.

“Menerima kunjungan syarikat pertahanan Republik Turkiye, Savunma Teknolojileri Muhendislik ve Ticaret A.S. (STM) yang diwakili oleh Pengurus Besar syarikat tersebut, Mr. Ozgur Guleryuz.

“Pada Jun lalu, saya telah menyaksikan Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima pembelian tiga buah Kapal Misi Pesisir (LMS) Batch 2 oleh Kerajaan Malaysia kepada STM, salah sebuah syarikat di bawah Secretariat of Defence Industries (SSB) dan Kerajaan Turkiye.

“Tentera Laut Diraja Malaysia dijadualkan menerima kapal-kapal ini secara berperingkat, bermula pada 2027,” katanya.

Menurutnya, kehadiran mereka ke Malaysia adalah untuk menandatangani kontrak pembelian aset berkenaan di samping membincangkan mengenai potensi kerjasama bersama STM pada masa akan datang.

“Mr. Ozgur Guleryuz berada di Malaysia untuk menandatangani kontrak berkenaan pembelian tiga buah LMS Batch 2 tersebut dan kesempatan ini digunakan untuk mengadakan pertemuan serta membincangkan tentang potensi kerjasama dengan STM pada masa akan datang.

“STM telah menyatakan komitmen untuk terus menyokong usaha-usaha negara membangunkan industri pertahanan tempatan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut mengadakan pertemuan dengan Mindmatics Sdn Bhd untuk mendengar pembentangan tentang hala tuju dan masa depan syarikat tersebut.

“Saya telah berpeluang mengadakan pertemuan dengan Mindmatics Sdn Bhd, sebuah syarikat tempatan yang berpengalaman dalam menyediakan pelbagai penyelesaian IT, pengkomputeran dan elektronik.

“Dalam pertemuan itu, saya berkesempatan mendengar pembentangan tentang hala tuju dan perancangan masa hadapan syarikat, antaranya dalam perkhidmatan menyediakan ‘command centre’, komunikasi, sekuriti siber serta ‘sensor’.

“Saya percaya dengan teknologi mahir yang dimiliki dan kekuatannya dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D), membolehkan syarikat tempatan ini untuk turut menyumbang kepada keupayaan ketenteraan negara,” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.