Pasca-PRK Mahkota… Bukti Isu Retorik Tidak Pengaruhi Bangsa Johor – Dr Azmi

KUALA LUMPUR, 1 Okt – Kemenangan Barisan Nasional (BN) di Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota membuktikan bahawa isu retorik gagal untuk mempengaruhi bangsa Johor.

Penganalisis politik dari Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, Profesor Dr Azmi Hassan berkata, isu persijilan halal yang dikatakan mampu untuk mengganggu-gugat kemenangan Kerajaan Perpaduan juga tidak memberi kesan.

“Ya, memang betul BN menang bergaya di Mahkota dan saya melihat dari sudut bangsa Johor telah mempamerkan isu retorik tidak boleh mempengaruhi mereka. Kalau kita lihat, ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lepas, gelombang hijau hanya tersekat di sempadan Negeri Sembilan dan Johor, lebih spesifiknya di Gemas.

“Itu sempadan kedua-dua negeri yang Gemas itu duduk di kedua-dua belah, Johor dan Negeri Sembilan. Jadi, Mahkota itu jauh daripada Gemas tapi telah mempamerkan bahawa isu retorik tidak mempengaruhi mereka.

“Sekali lagi saya katakan ia tidak mempengaruhi pengundi-pengundi bangsa Johor malah terdapat ura-ura bahawa masalah isu nasional akan menghantui pengundi Pakatan Harapan (PH), tapi sebenarnya tidak tercetus undi protes secara besar-besaran,” katanya kepada UMNO Online.

Tegasnya, keputusan PRK Mahkota turut menunjukkan bahawa isu-isu yang menjaga kepentingan negara, rakyat dan negeri lebih baik untuk dibawa ketika musim berkempen.

“Ada yang tidak keluar (mengundi), tapi tidak dapat dipastikan apa sebabnya. Peratus keluar mengundi bukan sahaja di kalangan pengundi bukan Melayu, malah pengundi Melayu pun agak kurang… 50 peratus lebih saja.

“Jadi dalam hal ini, ianya telah mempamirkan bahawa dalam berkempen, perlu membawa isu-isu yang nampaknya lebih bijak, menjaga kepentingan negara, orang ramai, setempat ataupun negeri. Itu adalah lebih penting.

“Pengundi Johor terutamanya di Mahkota ini secara spesifik telah mempamerkan bahawa itu sebenarnya. Kalau nak diungkapkan, pengundi di Mahkota ini lebih bijak daripada sesetengah orang politik yang bermain dengan isu retorik dan isu sensitif untuk meraihkan laba politik,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau beranggapan bahawa ahli-ahli politik perlu mengambil iktibar dan berhenti untuk memainkan isu-isu retorik yang tidak membawa sebarang manfaat kepada rakyat.

“Jadi, seharusnya orang politik mengambil iktibar bahawa cukup-cukuplah bermain dengan isu-isu retorik sensitif yang tidak membawa makna dan manfaat kepada orang ramai. Untuk meraih keuntungan politik, ianya sudah tidak boleh digunakan lagi.

“Orang politik apabila bercakap dan berkempen… kena buat sedikit kerja rumah, dan mentelaah. Apa yang dilontarkan bukan cakap sembarangan atau sembrono sahaja,” katanya lagi.

Pada Sabtu, BN berjaya mempertahankan kerusi DUN Mahkota dengan majoriti lebih besar selepas calonnya, Syed Hussien Syed Abdullah memenangi PRK menewaskan calon PN, Mohamad Haizan Jaafar.

Syed Hussien yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kluang menang dengan majoriti 20,648 selepas meraih 27,995 undi, berbanding Mohamad Haizan atau Coach Haizan dengan 7,347 undi. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.