Lawatan Rasmi BN Ke China… Jalin Hubungan Atas Prinsip Kemerdekaan – Shamellya

KUALA LUMPUR, 1 Okt – Ketua Penerangan Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Shamellya Norazizi menegaskan bahawa lawatan rasmi delegasi Barisan Nasional (BN) ke China yang berakhir Jumaat lalu adalah untuk menjalinkan hubungan berdasarkan prinsip kemerdekaan.

Ini kerana katanya, pihak Perikatan Nasional (PN) dilihat sengaja mewujudkan kontroversi sebelum ini kerana terdesak untuk meraih sokongan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota Sabtu lalu sehingga menggunakan lawatan rasmi BN sebagai modal untuk menyerang UMNO/BN.

“PN seakan terdesak untuk memenangi Makhota, sehingga boleh memfitnah dengan sangat dahsyat. Delegasi BN ke China adalah untuk lawatan kerja rasmi sempena 50 tahun hubungan diplomatik Malaysia-China.

“Pertukaran perwakilan yang telah dipersetujui sejak 2010 ini pernah ditamatkan pada 2018 selepas BN kalah pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

“Kini, lawatan kerja rasmi ini diteruskan untuk menjalinkan hubungan berdasarkan prinsip kemerdekaan, kesaksamaan yang lengkap, saling menghormati dan tidak campur tangan dalam hal ehwal dalaman masing-masing, serta bekerjasama demi memajukan hubungan strategik Malaysia-China,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Menurutnya, melalui memorandum persefahaman (MoU) dimeterai, kedua-dua negara perlu memberi keutamaan untuk mendalami pembangunan ekonomi dan sosial nasional masing-masing.

“Dalam MoU tersebut, kedua-dua negara berpendapat bahawa pertukaran antara pemimpin politik muda harus diberi keutamaan parti-ke-parti (party-to-party) untuk mendalami secara komprehensif mengenai pembangunan ekonomi dan sosial nasional masing-masing serta bagi meningkatkan persahabatan antara generasi muda kedua-dua negara.

“Perbincangan yang diadakan termasuklah pengurusan organisasi politik antara dua parti, penggunaan media dan penggunaan teknologi moden (pengurusan krisis); pembaharuan ekonomi dan kepelbagaian etnik’ serta produk halal.

“Lawatan rasmi ini diwakili seramai 40 orang dan jadual program seminar yang amat padat memberikan ruang kepada delegasi BN bertukar pandangan berkaitan ekonomi serta polisi dua negara,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau beranggapan bahawa pertukaran perwakilan ini bukanlah doktrin komunis seperti yang dikatakan oleh pihak lawan.

“Saya tak rasa pertukaran perwakilan ini adalah doktrin komunis untuk membawa agenda mereka melalui UMNO. Sudah-sudahlah membuat fitnah dan terdesak sebegini rupa.

“Baik saudara Chegu Bard fokus terangkan kepada calon apa itu Gen Z dan keutamaan beliau sebagai calon untuk rakyat di DUN Mahkota. Jangan sibuk kain orang, kain sendiri terkoyak rabak,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit