Bukan Bermotif Politik, Penubuhan JPKKP Dan JKDM Sabah Satu Keperluan Untuk Rakyat

KENINGAU, 1 Okt – Penubuhan Jawatankuasa Pengurusan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) di negeri Sabah bukanlah bermotif politik sebaliknya ia adalah satu keperluan bagi memudahkan urusan kerajaan dalam mentadbir urus sesebuah kampung dan menggerakkan segala aktiviti kemasyarakatan selain menjadi medium penyaluran maklumat kepada rakyat.

Menurut Ketua UMNO Bahagian Keningau, Nik Mohd Nadzri Nik Zawawi penubuhan JPKKP di Sabah ini tidak timbul isu pertindihan dari segi fungsi dan peranannya dengan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang ditubuhkan oleh kerajaan negeri meskipun ada pihak yang mempertikaikan dengan dakwaan boleh memecah-belahkan perpaduan rakyat.

“JPKKP dan JKKK merupakan dua badan yang berbeza maka tidak timbul isu pertindihan tugas apatah lagi boleh memecahkan perpaduan rakyat di negeri ini.

“Malah ia memberikan kebaikan kepada rakyat agar proses menjana kemajuan khususnya di luar bandar dapat diperkasakan,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan watikah pelantikan kepada pengerusi JPKKP dan Komuniti Desa Madani dekat sini, kelmarin.

Sehubungan itu Nik Mohd Nadzri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penasihat GiatMARA Keningau berharap mereka yang dilantik mampu memainkan peranan efektif sebagai perancang dan pelaksana program-program di kampung.

Katanya wakil JPKKP dan JKDM perlu mempunyai upaya untuk menggerakkan penglibatan komuniti setempat dan menjadi penghubung di peringkat akar umbi yang akan menyampaikan masalah dan aduan kepada pihak berkuasa apabila berlaku sesuatu isu

“Dengan amanah yang diberikan ini, setiap pengerusi JPKKP dan JKDM perlu memikul tugas serta tanggungjawab yang diberikan dalam mewujudkan kampung yang sejahtera sejajar dengan konsep MADANI,” tegas Nik Mohd Nadzri lagi. – UMNO Online

Oleh: Jaafar Abd Wahid

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.