Terima Kasih Orang Melayu, Anak Muda Pengundi Mahkota – Mohd Rafi

KUALA LUMPUR, 30 Sept – Keputusan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri bulan lalu dan pada Sabtu lalu PRK DUN Mahkota menandakan bahawa sokongan orang Melayu dan anak muda telah terarah kepada Barisan Nasional (BN), kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan.

Katanya, ini jelas sebagaimana di DUN Mahkota apabila semua saluran menampakkan sokongan berpihak kepada BN melalui calon yang ditawarkan iaitu Syed Hussien Syed Abdullah.

“BN menang besar di semua saluran dan di PDM yang melibatkan bangsa Melayu pun. Ini membuktikan bahawa dakwaan kononnya orang Melayu menolak UMNO apabila bersama dalam Kerajaan Perpaduan adalah tidak benar sama sekali malah sebaliknya.

“Keputusan PRK DUN Mahkota menjadi pengukur dan bukti nyata yang kononnya UMNO telah ditolak lantaran bersama dengan Pakatan Harapan (PH) yang di dalamnya ada Dap adalah tidak benar. Bangsa Melayu tetap bersama UMNO malah anak-anak muda juga menerima dan menyokong kesederhanaan, kempen berhemah dengan tawaran kestabilan demi kemakmuran,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Labuan berkata demikian sebagai mengulas berkaitan kejayaan BN mengekalkan kerusi DUN Mahkota dengan kemenangan besar dalam pertandingan berturut-turut menentang Perikatan Nasional.

Syed Hussien merangkul kemenangan dengan jumlah 20,648 undi selepas memperoleh 27,995 undi manakala lawannya, Mohamad Haizan Jaafar memperoleh 7,347 undi.

Ujar Mohd Rafi, kemenangan ini memberikan makna yang sangat besar bukan hanya kepada UMNO/BN tetapi juga kepada manifestasi Kerajaan Perpaduan dan masa hadapan negara.

“Jelas bahawa rakyat telah mula menerima gabungan dan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan serta menolak tingkah pihak lawan yang lebih kepada politik kebencian dan hanya memburukkan pihak lawan.

“Dengan mengundi BN, pengundi Mahkota bukan sahaja mempertahankan sejarah dan maruah orang Melayu, tetapi juga memainkan peranan penting dalam menjamin kestabilan politik negara, selari pentadbiran kerajaan negeri dan kerajaan Pusat.

“Kepercayaan yang dimandatkan kepada BN ini amat bererti dan kemenangan di DUN Mahkota sangat bermakna kepada semua, maka ia perlu dijaga sebaiknya lantaran amanah ini adalah dari rakyat bukan hanya untuk UMNO/BN di DUN itu tetapi juga kepada Kerajaan Negeri Johor dan Kerajaan Pusat di bawah Kerajaan Perpaduan.”

Beliau juga merakamkan penghargaan dan berterima kasih kepada semua pihak yang telah sama-sama berusaha dan bertungkus-lumus memastikan BN kekal di DUN Mahkota.

“Saya merakankan ucapan terima kasih kepada semua pihak, kepada para pengundi dan juga kepada seluruh jentera Kerajaan Perpaduan yang telah bertungkus-lumus memenangkan Syed Hussien untuk bergelar wakil rakyat.

“Semoga kejayaan yang kita kecapi ini akan terus menjadi penguat semangat untuk kita sentiasa istiqamah dalam tekad berkhidmat kepada rakyat, dari rakyat dan kepada rakyat,” katanya lagi.

DUN Mahkota merupakan satu daripada dua DUN di bawah Parlimen Kluang.

Ini adalah PRK ke-10 selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 yang sebelum ini menyaksikan PRK Parlimen Kuala Terengganu (Terengganu); PRK DUN Simpang Jeram dan PRK Parlimen Pulai (Johor); PRK DUN Pelangai (Pahang); PRK DUN Jepak (Sarawak); PRK Parlimen Kemaman (Terengganu) dan PRK DUN Kuala Kubu Baharu (Selangor), PRK DUN Sg Bakap (Pulau Pinang) dan PRK DUN Nenggiri (Kelantan). – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.