Solidariti, Kerjasama… Resipi Utama Kemenangan BN di Mahkota

KUALA LUMPUR, 30 Sept – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub beranggapan bahawa solidariti dan kerjasama merupakan resepi utama kemenangan Barisan Nasional (BN) di Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.

Menurutnya, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sentiasa kekal fokus dan kerap turun padang untuk berkempen di samping merangka strategi serta melenyapkan suara-suara sumbang yang cuba merosakkan institusi BN dan Kerajaan Perpaduan.

“Tahniah dan terima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri (TPM) yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang sentiasa kekal fokus dan kerap turun padang berkempen… memberi perancangan strategi yang sekaligus membuahkan hasil dan melenyapkan suara-suara sumbang yang ingin merosakkan institusi BN serta Kerajaan Perpaduan.

“Jentera UMNO/BN kekal bersolidariti bersama Presiden UMNO dengan menunjukkan disiplin gerak kerja yang kemas dan teratur.

“Solidariti dan kerjasama adalah resipi utama kemenangan BN di Mahkota. Semua pihak telah menyumbang kepada kemenangan ini dan seharusnya dikongsi bersama oleh parti-parti di dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Ahmad Jazlan yang juga Ketua UMNO Bahagian Machang berterima kasih juga pada seluruh pengundi DUN Mahkota kerana memberikan kepercayaan kepada Kerajaan Negeri dan Kerajaan Perpaduan.

“Terima kasih kepada seluruh pengundi DUN Mahkota kerana memberi kemenangan sebagai tanda keyakinan dan kepercayaan kepada Kerajaan Negeri Johor serta Kerajaan Pusat.

“Anak-anak muda lebih melihat agenda pembangunan masa depan bangsa dan negara melebihi daripada politik retorik, fitnah murahan serta adu domba yang sudah muak. Ianya satu keputusan yang amat disyukuri kerana pengundi-pengundi muda sekali lagi memberi sokongan kepada calon BN yang mewakili Kerajaan Perpaduan selepas kemenangan di Nenggiri baru-baru ini,” katanya lagi.

Pada Sabtu, BN berjaya mempertahankan kerusi DUN Mahkota dengan majoriti lebih besar selepas calonnya, Syed Hussien Syed Abdullah memenangi PRK menewaskan calon PN, Mohamad Haizan Jaafar.

Syed Hussien yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kluang menang dengan majoriti 20,648 selepas meraih 27,995 undi, berbanding Mohamad Haizan atau Coach Haizan dengan 7,347 undi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.