Terima Kasih Semua, Saya Akan Buat Yang Terbaik Untuk Mahkota – Syed Hussien

KLUANG, 29 Sept – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota yang baharu Syed Hussien Syed Abdullah mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada seluruh pengundi kerana memberinya peluang dan ruang untuk beliau berkhidmat di kawasan itu.

Kata Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kluang itu, beliau akan memberikan komitmen yang terbaik demi kesejahteraan dan kemajuan Mahkota.

“Syukur kehadrat Allah SWT dengan izin-Nya Pilihan Raya Kecil (PRK) N29 Mahkota yang berlangsung sepanjang 14 hari telah menutup tirai dengan jayanya.

“Banyak pengalaman yang telah saya lalui menjadikan saya seorang yang dipertanggungjawabkan sebagai wakil bagi menjaga seluruh warga N29.

“Insya-Allah saya akan melakukannya dengan penuh amanah dan berdedikasi,” katanya dalam satu kenyataan.

Selanjutnya, Syed Hussien mengucapkan ucapan jutaan terima kasih kepada Pengerusi Barisan Nasional (BN) merangkap Timbalan Perdana Menteri Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pengarah Pilihan Raya N29 merangkap Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi kerana memberi ruang kepada beliau untuk menggalas tugas sebagai wakil parti untuk bertanding pada PRK N29 Mahkota.

Syed Hussien juga mengucapkan terima kasih kepada Ketua UMNO Bahagian Kluang Datuk Md Jais Sarday serta barisan kepimpinan UMNO bahagian.

“(dan) Wanita UMNO bahagian yang diketuai oleh Pemangku Ketua Wanita Zainani Jamaluddin, Naib Ketua Pemuda Hafiz Rais dan Ketua Puteri Nurul Eliana A. Rahim bersama pimpinan sayap telah mencadangkan nama saya sebagai salah satu calon dari kepimpinan bahagian serta membantu dalam kempen kali ini,” katanya.

Begitu juga tambahnya ucapan penghargaan buat rakan gabungan BN-Pakatan Harapan (PH).

“Saya ingin mengucapkan terima kasih buat Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, Presiden MIC Tan Sri Vigneswaran Sanasee, Setiausaha Agung Dap Anthony Loke Siew Fook, Ahli Parlimen Kluang Wong Shu Qi dan Presiden Amanah Datuk Seri Mohamad Sabu.

“Dan yang paling penting iaitu Perdana Menteri Malaysia Datuk Sri Anwar Ibrahim selaku Presidan PKR kerana memberikan sokongan fizikal dan moral dalam kempen,” katanya.

Tidak ketinggalan ujarnya, jutaan terima kasih kepada Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Datuk Dr Akmal Saleh; Naib Ketua Mohd Hairi Mad Shah; pegawai; barisan exco; ketua pemuda negeri khsusnya Noor Azleen Ambros dan ketua pemuda bahagian seMalaysia kerana bertungkus lumus menjayakan kempen ini,” katanya lagi.

PRK DUN Mahkota diadakan selepas penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, meninggal dunia pada 2 Ogos lalu akibat pendarahan dalaman.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada hari semalam, manakala penamaan calon pada 14 Sept dan pengundian awal 24 Sept lalu.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya Azurawati Wahid mengumumkan keputusan rasmi PRK DUN Mahkota di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di Dewan Tunku Ibrahim Ismail di sini malam tadi.

BN mempertahan kerusi DUN Mahkota dengan kemenangan bergaya selepas calonnya, Syed Hussien memperoleh majoriti besar 20,648 undi.

Syed Hussien, selaku wakil Kerajaan Perpaduan memperoleh 27,995 undi, jauh meninggalkan pencabarnya Mohamad Haizan Jaafar dari Perikatan Nasional (PN) yang sekadar meraih 7,347 undi. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.